Ahad, 19 Jun 2022 | 8:16pm
Pelumba Sarawak meraih pingat emas dalam menerusi acara kejar mengejar berpasukan pada JCM Siri 2 2022 di Velodrom Nasional Nilai. - Foto ihsan Persatuan Berbasikal Sarawak.
Pelumba Sarawak meraih pingat emas dalam menerusi acara kejar mengejar berpasukan pada JCM Siri 2 2022 di Velodrom Nasional Nilai. - Foto ihsan Persatuan Berbasikal Sarawak.

Pelumba Sarawak cemerlang saingan JCM Siri 2 di Velodrom Nasional

KUCHING: Harapan pasukan berbasikal Sarawak meraih podium pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20, September ini cerah susulan prestasi cemerlang dipamerkan pelumba muda pada Junior Cycling Malaysia (JCM) Siri 2 di Velodrom Nasional, Nilai yang berakhir semalam.

Pada perlumbaan tiga hari bermula Khamis lalu itu, pasukan berkenaan yang dibimbing bekas jaguh berbasikal trek negara, Josiah Ng berjaya meraih tujuh pingat dengan dua daripadanya adalah emas manakala tiga perak.

Pengurus pasukan, Irawan Sudarsono berkata satu daripada pingat emas yang berjaya dimenangi itu adalah menerusi Muhammad Luqman Daniel Roji dalam acara kejar mengejar individu 4 kilometer (km).

Katanya, satu lagi adalah melalui acara kejar mengejar berpasukan yang dibarisi Luqman Daniel bersama Awang Asfarahan Awang Asfia, Adi Hafiy Idlan Muliadi dan Harrith Affan Jobeli.

"Pingat perak perak pula dimenangi melalui acara pecut berpasukan menerusi gandingan Luqman Daniel, Harrith Affan dan Awang Asfarahan manakala dua lagi diraih acara omnium menerusi Luqman Daniel dan acara ujian masa individu 1 km remaja menerusi Awang Asfarahan.

"Pingat gangsa pula dimenangi Luqman Daniel dalam acara ujian masa 1 km lelaki dan satu lagi menerusi Awang Asfarahan dalam acara omnium remaja.

Irawan berkata prestasi pasukan kini cukup memberangsangkan sekali gus menambah keyakinan kepada pelumba menjelang SUKMA ke-20 yang semakin hampir.

Katanya, pasukan mahu tampil dalam keadaan terbaik dari segi mental dan fizikal.

"Pelumba kini perlu berehat seketika dan beralih fokus ke Kejohanan Jalan Raya Kebangsaan di Perak dari 24 hingga 26 Jun. Ini adalah pendedahan terbaik dalam persiapan pasukan ke temasya SUKMA ke-20," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Irawan berkata pasukan berbasikal Sarawak kini berusaha mencari lebih banyak dana untuk kekal berdaya saing dan meningkatkan prestasi.

Mengulas pencapaian pada JCM Siri 2 2022, Irawan berkata Luqman Daniel muncul pelumba terbaik pasukan dengan meraih lima pingat iaitu dua emas, dua perak dan satu gangsa.

"Dalam acara 4 km kejar mengejar individu, dia mencatat rekod baharu negeri dengan kepantasan 4:34:761 mengatasi Mohd Amir Farhan dari Selangor dan Muhamad Firas Aliyan dari Kuala Lumpur.

"Awang Asfarahan juga melakukan tugas cemerlang dengan menggondol empat pingat, iaitu satu emas, dua perak dan satu gangsa," katanya.

Pada Kejohanan Trek Kebangsaan Mei lalu, pasukan Sarawak melakar sejarah apabila meraih podium pertama menerusi Luqman Daniel yang meraih perak menerusi acara kejar mengejar individu manakala satu pingat gangsa menerusi acara kejar mengejar berpasukan.

Berita Harian X