Selasa, 14 Jun 2022 | 6:12pm
Sukan Komanwel 2022 dijadual diadakan di Birmingham, England pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini. - Foto ihsan BBC
Sukan Komanwel 2022 dijadual diadakan di Birmingham, England pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini. - Foto ihsan BBC

Malaysia sasar tujuh emas Sukan Komanwel 2022

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 meletakkan sasaran tujuh pingat emas untuk dibawa pulang dan jumlah berkenaan sama seperti diraih pada edisi di Gold Coast 2018.

Sasaran pada temasya yang berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos itu dijangka dicapai menerusi enam sukan iaitu dua menerusi badminton selain masing-masing satu daripada gimrama, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting.

Walaupun jumlah kontinjen kali ini semakin mengecil iaitu 102 atlet, bagi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, beliau optimis sasaran berkenaan dapat dicapai.

"Secara keseluruhan, jumlah atlet kali ini berkurang daripada jumlah di temasya Sukan Komanwel lalu," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM, di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod penyertaan sebelum ini, Malaysia menghantar seramai 178 atlet pada edisi Gold Coast 2018 manakala 179 atlet di Glasgow 2014, 198 (Delhi 2010) dan 162 (Melbourne 2006).

"Antara faktor mempengaruhi jumlah atlet kali ini adalah kerana tiada sukan menembak yang secara puratanya 18 atlet. Kita juga tidak menyertai hoki (lelaki dan wanita) yang membabitkan 36 atlet.

"Dua sukan ini saja, kita sudah kekurangan seramai lebih kurang 54 atlet," kata Norza yang turut menyatakan mesyuarat secara sebulat suara memilih atlet sukan powerlifting, Bonnie Bunyau dan S Sivasangari (skuasy) sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Untuk rekod, pada temasya di Gold Coast 2018, Malaysia meraih tujuh emas menerusi sukan angkat, terjun, boling padang, gimnastik dan badminton. Lima perak turut berjaya diraih masing-masing menerusi sukan badminton, gimnastik dan angkat berat.

Kontinjen negara juga berjaya meraih 12 gangsa menerusi sukan angkat berat, skuasy, menembak, terjun, gimnastik, olahraga, ping pong dan badminton.

Berita Harian X