Ahad, 22 Mei 2022 | 12:57pm
Tiger Woods membuat pukulan dari kotak tee ke-10 ketika pusingan ketiga Kejuaraan PGA 2022 di Kelab Country Southern Hills, Tulsa, Oklahoma. - Foto AFP
Tiger Woods membuat pukulan dari kotak tee ke-10 ketika pusingan ketiga Kejuaraan PGA 2022 di Kelab Country Southern Hills, Tulsa, Oklahoma. - Foto AFP

Woods tarik diri di pusingan ketiga Kejuaraan PGA

TULSA, Amerika Syarikat: Tiger Woods menarik diri daripada Kejuaraan PG selepas merakam sembilan atas par 79 pada pusingan ketiga akibat kecederaan kaki.

Woods menarik diri daripada kejohanan major buat pertama kali sebagai pemain profesional dan kedua sepanjang kariernya selepas Terbuka Amerika Syarikat 1995.

Selepas bergelut menahan kesakitan di kaki kanannya yang hampir dipotong akibat kemalangan pada Februari tahun lalu, juara major 15 kali itu terpaksa akur tidak dapat meneruskan permainan pada pusingan akhir di Southern Hills hari ini.

"Terasa sakit. Kita akan lihat bagaimana nanti," kata Woods yang kemudian memberitahu penganjur dia tidak dapat meneruskan saingan.

Pemain Chile Mito Pereira mencatat satu bawah par 69 untuk mendahului kejuaraan dengan sembilan bawah par 211 selepas 54 lubang, mengatasi pesaing terdekat Matthew Fitzpatrick dari England dan pemain Amerika Syarikat Will Zalatoris dengan tiga pukulan.

Woods dimasukkan ke hospital beberapa bulan selepas kemalangan pada Februari 2021 dan kembali beraksi 14 bulan kemudian dengan menamatkan saingan Masters bulan lalu di tempat ke-47.

Bagaimanapun penyertaan di major keduanya selepas kemalangan itu tidak begitu lancar apabila dia melakukan lima bogey berturut-turut buat pertama kali dalam kariernya di kejohanan major, dan menamatkan tiga pusingan dengan 12 atas par 222.

"Semuanya tidak menjadi. Saya tidak memukul bola dengan baik. Akhirnya saya mencatat keputusan yang agak tinggi," katanya.

Ketika Woods menarik diri daripada kejohanan major 27 tahun lalu, dia berusia 19 tahun dan beraksi sebagai pemain amatur pada penampilan pertamanya di Terbuka Amerika Syarikat. - AFP

Berita Harian X