Jumaat, 20 Mei 2022 | 8:41pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga kiri) mengadakan pertemuan dengan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader di Pusat Sukan Hoang Mai, Hanoi hari ini. - Foto BERNAMA.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga kiri) mengadakan pertemuan dengan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader di Pusat Sukan Hoang Mai, Hanoi hari ini. - Foto BERNAMA.

'Skuad Harimau Muda, bawa pulang pingat gangsa'

HANOI: Selepas gagal mara ke pentas akhir acara bola sepak Sukan SEA ke-31, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberikan kata-kata semangat kepada skuad Harimau Muda agar tidak terbawa-bawa kekecewaan itu dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Menurutnya, skuad kebangsaan bawah 23 tahun itu perlu mengekalkan prestasi mereka apabila menentang Indonesia pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, Ahad ini.

Katanya, skuad kendalian Brad Maloney itu sudah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang aksi pada temasya sukan dwitahunan itu termasuk ketika menentang pasukan tuan rumah, Vietnam pada perlawanan separuh akhir semalam.

"Bermain berdepan pasukan tuan rumah (Vietnam), saya rasakan mereka sudah bermain dengan baik. Saya harap mereka dapat kekalkan momentum dan semangat ini dalam perlawanan tempat ketiga dan keempat.

"Saya harap skuad negara dapat membawa pulang pingat gangsa...itu saya anggap satu kejayaan," katanya ketika ditemui di Gimnasium Hoang Mai, venue bagi acara sepak takraw Sukan SEA ke-31, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader dari Singapura, yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Pada aksi di Stadium Viet Tri malam tadi, hasrat skuad Harimau Muda untuk meneruskan cabaran memburu pingat emas acara bola sepak Sukan SEA 2021 tidak kesampaian apabila tewas 0-1 di tangan Vietnam dalam aksi separuh akhir.

Pada satu lagi perlawanan separuh akhir, Thailand menewaskan Indonesia 1-0.

Vietnam akan berdepan Thailand di final, manakala Malaysia pula akan menentang Indonesia dalam perebutan pingat gangsa dengan perlawanan akan berlangsung di Stadium My Dinh, Ahad ini.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak di Sukan SEA ialah pada edisi 2011 di Indonesia ketika di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu ialah muncul naib juara edisi 2017 di Kuala Lumpur sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019.

- BERNAMA

Berita Harian X