Jumaat, 20 Mei 2022 | 8:40pm
Atlet gimrama negara diwakili Shak Yuki, Ng Jia Wen, Jingle Shak Qi, Yap Yi Tung dan Maia Ong Xiao Han beraksi dalam acara berpasukan akhir wanita pada Sukan SEA 2021 di Kompleks Sukan Quan Ngua, Hanoi semalam. - Foto BERNAMA
Atlet gimrama negara diwakili Shak Yuki, Ng Jia Wen, Jingle Shak Qi, Yap Yi Tung dan Maia Ong Xiao Han beraksi dalam acara berpasukan akhir wanita pada Sukan SEA 2021 di Kompleks Sukan Quan Ngua, Hanoi semalam. - Foto BERNAMA

Skuad gimrama tak puas hati biarpun capai sasaran

HANOI: Skuad gimnastik berirama (gimrama) negara masih belum berpuashati dengan prestasi dipamerkan mereka pada temasya Sukan SEA 2021 walaupun sudah mencapai sasaran dua emas.

Ketua pasukan, Shak Yuki berkata rakan sepasukan sebenarnya mampu memungut mata yang lebih baik seandainya tidak melakukan kesilapan dalam acara berpasukan dan emas itu bagi mereka masih belum 'sempurna'.

Apapun, gimnas berpasukan negara yang dibarisi atlet muda harus diberikan pujian apatah lagi ini adalah penampilan pertama mereka di temasya dwitahunan berkenaan kecuali Yuki.

"Kami sentiasa mahu memberikan yang terbaik tetapi kemenangan belum buat kami berpuas hati kerana kami sepatutnya mampu mendapatkan markah lebih tinggi jika kurang melakukan kesilapan.

"Apapun kami berhak meraih kejayaan ini dan mahu terus kembali berlatih untuk mempertingkatkan prestasi bagi persediaan menghadapi kejuaraan Asia pada Jun ini," kata Yuki.

"Daripada lima gimnas yang menang emas di Manila, hanya saya seorang dalam pasukan itu tetapi atlet muda memberi komitmen cukup tinggi bagi mencapai kejayaan ini."

Pemenang perak, Koi Sie Yan yang pertama kali menyertai Sukan SEA turut mengakui masih belum puas dengan prestasinya di temasya dwi tahunan berkenaan secara keseluruhannya.

"Sudah tentu gembira (menang perak) tapi sepatutnya saya mampu lakukan lebih baik, itu buat saya rasa kecewa dan sedih selepas pertandingan. Saya mahu terus berusaha keras untuk meningkatkan lagi prestasi dan meraih lebih banyak kejayaan," katanya.

Koi Sie Yan dan Ng Joe Ee menghadiahkan pingat emas serta perak dalam acara gimrama all-around manakala acara berpasukan dibarisi Yuki, Ng Jia Wen, Jingle Shak Qi, Maia Ong, Ashley Lim dan Yap Yi Tung melengkapkan emas kedua dalam sukan berkenaan.

Secara keseluruhan, skuad gimnastik negara membawa pulang empat emas, dua perak dan satu gangsa pada edisi ke-31 di sini.

Berita Harian X