Jumaat, 20 Mei 2022 | 8:18pm
Aksi wakil negara dalam acara akhir kumite berpasukan lelaki menentang Indonesia di Gimnasium Sukan Wilayah Ninh Binh, Hanoi, saingan Sukan SEA 2021 hari ini. Malaysia menang 3-0 sekali gus meraih emas ke-36 kontinjen Malaysia. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.
Aksi wakil negara dalam acara akhir kumite berpasukan lelaki menentang Indonesia di Gimnasium Sukan Wilayah Ninh Binh, Hanoi, saingan Sukan SEA 2021 hari ini. Malaysia menang 3-0 sekali gus meraih emas ke-36 kontinjen Malaysia. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.

Selepas capai 36 emas, Azmi kini sasar 42

HANOI: Penantian sasaran pingat emas ke-36 amat bermakna bukan saja buat Malaysia, malah ia turut menyentuh hati Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Vietnam 2021, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) berkata kemenangan pasukan karate kumite lelaki hari ini menjadi penentu kepada sasaran diletakkan namun kontinjen masih mempunyai misi seterusnya iaitu menambah kilauan emas kepada 42 sebelum temasya dwi tahunan berkenaan melabuhkan tirainya pada 23 Mei ini.

"Terima kasih kepada atlet karate kerana mencapai matlamat 36 emas hari ini," kata Nur Azmi.

"Ini satu penutup (sasaran) yang saya sendiri sebagai setiausaha agung MAKAF dan ketua kontinjen Malaysia, membantu saya menamatkan bilangan sasaran ditetapkan oleh menteri dan juga rakyat Malaysia kepada saya.

"Akhirnya kami dapat emas ke-36 dalam sukan yang saya sendiri ceburi. Ini sesuatu yang sangat membanggakan walaupun sebelum ini kita dapat pingat ke-35 daripada menembak dan itu yang saya perlukan untuk hari ini.

"Terima kasih kepada atlet dalam kontinjen Malaysia yang lain kerana turut membantu menaikkan jumlah pingat emas kepada negara. Semalam kita dapat lebih kurang tujuh emas dan hari ini kita adalah hari penutup dalam memastikan kontinjen mencapai 36 emas.

"Selepas ini kita akan teruskan beusaha. Masih ada lagi sukan lain dan saya pasti sekiranya semuanya berjalan lancar, kita akan menambah lagi empat emas sebelum cuba mencapai sasaran peribadi saya sendiri, 42 emas," katanya.

Pasukan karate kumite dibarisi R Sharmendran, S Prem Kumar, H Sureeya Sankar, S Geerijaieswaran, Arif Afifuddin Ab Malik, V Kueggan dan G Katish meraih emas selepas menewaskan Indonesia 3-0.

Pasukan itu mara ke final selepas menewaskan tuan rumah Vietnam 3-0 pada separuh akhir dan Laos 2-0 pada suku akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara kumite berpasukan lelaki pada Sukan SEA edisi 1993 di Singapura dengan ketua jurulatih pasukan kumite, P Arivalagan mengetuai pasukan itu.

Berita Harian X