Jumaat, 20 Mei 2022 | 6:46pm
Atlet renang negara, Khiew Hoe Yean paling menyerlah di Sukan SEA 202 apabila meraih satu emas selain tiga perak dan satu gangsa. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Atlet renang negara, Khiew Hoe Yean paling menyerlah di Sukan SEA 202 apabila meraih satu emas selain tiga perak dan satu gangsa. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Skuad renang negara di Hanoi perlu bangkit segera

HANOI: Program renang kebangsaan kini berdepan dilema dan perlu berhati-hati dalam memilih arah yang hendak dituju bagi membangkitkan semula nama Malaysia dalam sukan itu.

Skuad renang negara menutup kempen Sukan SEA 2021 dengan hanya satu emas, empat perak dan tiga gangsa untuk menduduki tempat kelima daripada 10 negara bertanding.

Pencapaian itu sedikit menurun berbanding Manila 2019 yang menyaksikan Malaysia membawa pulang dua emas, dua perak dan tiga gangsa untuk menghuni tangga ketiga daripada 11 negara bertanding ketika itu.

Khiew Hoe Yean, 20, muncul atlet paling menyerlah di sini dengan satu emas dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki selain perak dalam acara 200m kuak dada, 400m gaya bebas dan 4x200m gaya bebas berganti ganti serta gangsa dalam 800m gaya bebas.

Job Tan yang tampil buat kali pertama di Sukan SEA dan memenangi gangsa bagi acara 200m kuak dada lelaki manakala Bryan Leong yang mencatat rekod baharu kebangsaan dalam acara 50m gaya bebas membuktikan mereka berpotensi untuk pergi lebih jauh.

Bagi atlet wanita, Phee Jinq En yang merangkul dua emas di Manila hanya membawa pulang satu perak menerusi acara 100m kuak dada.

Ketua jurulatih renang negara, Chris Martin mengakui dia mahukan lebih lagi daripada anak buahnya namun tetap berpuas hati dengan usaha dan potensi yang ditunjukkan oleh atlet negara.

"Satu emas, empat perak dan dua gangsa - saya lebih suka kalau kita menang lebih banyak daripada itu, semua jurulatih renang mahukan lebih (pingat) lagi," kata Martin.

"Saya lebih suka kalau kita dapat memenangi kembali pingat yang dibatalkan (4x100m gaya bebas berganti ganti). Saya gembira untuk menang lebih banyak lagi.

"Tetapi saya tidak boleh merungut dengan usaha yang diberikan oleh perenang terutama mengambil kira keadaan COVID-19 yang perlu kita hadapi sepanjang setahun setengah ini.

"Saya bangga dengan mereka dan takjub dengan atlet muda kita. Mereka memang memberikan usaha yang sangat keras. Bagus melihat Job Tan memenangi pingat dan kalau Jayden Tan benar-benar memberikan komitmen, dia boleh menjadi tonggak kita untuk masa depan.

"Kita mahukan kanak-kanak di setiap peringkat usia memberikan komitmen kepada renang dan bukan hanya menjadikan ia sebagai satu rekreasi."

Dalam masa sama, Martin juga akan mengadakan perbincangan mengenai masa depan program mereka bersama Persatuan Renang Malaysia (MS) sejurus pulang ke tanah air dan beberapa keputusan penting akan dibuat.

"Kita akan adakan perbincangan dengan persatuan apabila pulang nanti, kita perlu putuskan strategi untuk pertandingan. Nampaknya ada tiga strategi berbeza untuk Asia Tenggara dan mungkin kita perlu memilih salah satu ataupun dua daripadanya.

"Ada cara mengikut Vietnam di mana pasukan mereka ke Budapest selama sembilan bulan dan tiga bulan lagi ke Amerika Syarikat (untuk berlatih dan bertanding). Mereka ada 33 perenang yang komited dan mereka memberi sokongan kepadanya.

"Ada cara seperti Singapura di mana mereka melaburkan sumber yang besar kepada kelompok kanak-kanak. Ataupun kita boleh fokus lebih spesifik kepada beberapa perkara."

Berita Harian X