Jumaat, 20 Mei 2022 | 5:05pm
Pelumba negara, Muhammad Nur Aiman Rosli meraikan kejayaan memenangi gangsa acara berbasikal lebuh raya ujian masa perseorangan pada Sukan SEA 2021 di Hoa Binh Province, Vietnam, hari ini. - Foto BERNAMA
Pelumba negara, Muhammad Nur Aiman Rosli meraikan kejayaan memenangi gangsa acara berbasikal lebuh raya ujian masa perseorangan pada Sukan SEA 2021 di Hoa Binh Province, Vietnam, hari ini. - Foto BERNAMA

Nur Aiman menang gangsa ujian masa individu

HANOI: Malaysia meraih pingat gangsa sebagai 'bonus' daripada berbasikal lebuh raya yang disumbangkan juara kebangsaan, Nur Aiman Rosli menerusi acara ujian masa individu lelaki di Sukan SEA 2021, dekat sini, hari ini.

Aiman melengkapkan laluan sejauh 39.56 kilometer di Hoa Binh dengan catatan 48 minit dan 58.547 saat untuk berada pada kedudukan ketiga bagi acara itu.

Atlet dari Thailand, Peerapol Chawchiangkwang merangkul emas dengan catatan 48:32.404s manakala perak menjadi milik Aiman Cahyadi dari Indonesia. Seorang lagi pelumba negara, Shaiful Adlan Shukri berada di tangga kesembilan dengan catatan 51:31.146s.

Pengurus skuad berbasikal negara, Firdaus Arshad percaya persembahan yang ditunjukkan dua pelumba itu memberi petanda positif kepada masa depan kem negara dalam acara terbabit.

"Sudah tentu kita mahukan penamat podium tetapi saya tidak pasti jika kita mampu kerana kita tidak ada penanda aras untuk mengukur kemampuan kita dengan seteru lain dalam acara ini bagi beberapa tahun kebelekangan ini (kerana COVID-19).

"Jadi memenangi gangsa bagi acara ini adalah bonus kerana sasaran kita lebih kepada menerusi kriterium dan lebuh raya. Aiman hanya ketinggalan kira kira 30 saat di belakang pemenang pingat emas manakala Shaiful berada dalam kedudukan 10 teratas.

"Ini petanda yang baik kerana mereka baru berusia 23 tahun dan edisi kali ini akan memberikan pengalaman menjelang temasya di Kemboja tahun depan," katanya.

Acara ujian masa bagi wanita menyaksikan Yeong Zhen Yi (22:00.164s) dan Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad (22:29.953s) masing-masing menamatkan saingan pada kedudukan kesembilan dan ke-10.

Berita Harian X