Khamis, 19 Mei 2022 | 6:58pm
Pasukan dibarisi Aidil Azman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin serta Afifudin Mohd Razali selaku simpanan terpaksa berpuas hati dengan perak pada temasya Sukan SEA 2021.
Pasukan dibarisi Aidil Azman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin serta Afifudin Mohd Razali selaku simpanan terpaksa berpuas hati dengan perak pada temasya Sukan SEA 2021.

Skuad beregu sepak takraw negara kempunan emas

HANOI: Impian pasukan sepak takraw negara untuk mencipta sejarah meraih emas sulung dalam acara beregu lelaki tidak kesampaian apabila mereka tumpas 1-2 kepada Indonesia dalam aksi final di Gimnasium Hoang Mai sebentar tadi.

Selepas menumpaskan lawan yang sama di peringkat kumpulan semalam, pasukan yang dibarisi Aidil Azman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin serta Afifudin Mohd Razali selaku simpanan tidak berdaya untuk mengetepikan Muhammad Hardiansyah Muliang dan Saiful Rijal.

Malaysia bermula dengan agak goyah apabila tumpas di set pertama 17-21, sebelum bangkit semula dengan Noraizat dan Afifudin secara bergilir beraksi sebagai perejam untuk mengikat kedudukan 1-1 selepas menang 22-20.

Aksi di set penentuan berlangsung sengit terutama di hujung saingan dengan beberapa keputusan kontroversi dan drama dapat dilihat namun tuah ternyata menyebelahi pasukan Indonesia apabila mereka berjaya mencatat kemenangan 25-23.

Bagaimanapun, perak yang diraih pasukan beregu lelaki negara mengulangi pencapaian 2017 di Kuala Lumpur ketika tumpas kepada Myanmar dalam perlawanan akhir.

Menurut jurulatih Abd Talib Ahmad, aksi antara Malaysia dan Indonesia berlangsung dengan sangat sengit dan menarik namun ia memang cukup pahit untuk ditelan apabila rezeki tidak menyebelahi pasukan negara.

"Mata yang diraih antara kedua-dua pasukan memang sangat rapat, saya pun sukar hendak bercerita dengan apa yang berlaku. Pemain sudah habis-habisan berjuang, tapi inilah sepak takraw terutama di saat akhir," katanya.

Skuad sepak takraw akan menyambung aksi dalam saingan quadrant wanita esok apabila akan berdepan Thailand dan Myanmar.

Berita Harian X