Ahad, 15 Mei 2022 | 1:52pm
Pemain sepak takraw negara, Muhammad Afifuddin (kanan) melakukan libasan ketika menentang Vietnam pada Sukan SEA Hanoi hari ini. - AFP
Pemain sepak takraw negara, Muhammad Afifuddin (kanan) melakukan libasan ketika menentang Vietnam pada Sukan SEA Hanoi hari ini. - AFP

Skuad sepak takraw berjaya pertahan perak

HANOI: Pasukan sepak takraw lelaki negara meraih pingat perak selepas menumpaskan Vietnam 2-1 dalam perlawanan terakhir acara berpasukan di Gimnasium Hoang Mai sebentar tadi.

Selepas dikecewakan Thailand pada perlawanan pertama Jumaat lalu, kejayaan menumbangkan tuan rumah setidak-tidaknya mengubati kekecewaan untuk menjadi pasukan kedua terbaik di temasya dwitahunan ini.

Malaysia mula menunjukkan taring awal melalui regu pertama yang dibarisi Faisal Fuad, Noraizat Nordin dan Norfaizzul Razak selepas berjaya mengalahkan Dau Van Hoang, Ngo Huy Long dan Do Manh Tuan 21-15, 21-6.

Pingat perak negara disahkan melalui kemenangan regu kedua Zarif Marican Ibrahim Marican, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Azwawi selepas tidak berdepan masalah untuk menumbangkan Huynh Ngoc Sang, Nguyen Huy Quyen dan Tang Minh Khoa 21-17, 21-9.

Bagaimanapun, beregu ketiga tuan rumah, Le Ang Tuan, Vuong Minh Chau dan Nguyen Tien Dat menghalang skuad negara untuk mencatat kemenangan bergaya selepas berjaya menumbangkan trio, Haziq Hairul Nizam, Zulhusni Basri dan Redwan Hakim Muhammad 24-25, 21-23.

Sementara itu, perejam negara, Noraizat rasa bersyukur kerana setidak-tidaknya mampu membantu pasukan untuk mempertahankan perak yang dimenangi di Manila pada 2019.

"Pertama sekali saya hendak ucap Alhamdulillah kerana dapat membawa perak buat negara. Saya pun hendak minta maaf seluruh rakyat Malaysia dan keluarga (kerana ini saja dapat disumbangkan).

"Untuk aksi hari ini saya sudah mengingatkan rakan agar memberikan aksi terbaik dan esok juga (antara regu) harus bermain lebih baik dari hari ini.

"Saya tidak berasa tertekan turun menentang tuan rumah dan hanya menikmati permainan sebaik mungkin kerana saya beranggapan insya-Allah akan ada rezeki buat Malaysia.

"Kejayaan ini juga sangat bermakna kerana sebelum ini tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan keluarga dan latihan di Janda Baik membuahkan hasil buat pasukan Malaysia," katanya.

Acara beregu berpasukan menyaksikan Thailand meraih emas, manakala Vietnam dan Kemboja berkongsi gangsa.

Esok skuad negara akan menyambung semula acara sepak takraw dalam saingan antara regu dengan Malaysia memulakan kempen peringkat kumpulan menentang Thailand.

Berita Harian X