Selasa, 10 Mei 2022 | 4:50pm
Wendy memenangi pingat emas acara 3 meter papan anjal individu wanita Sukan SEA Hanoi hari ini.
Wendy memenangi pingat emas acara 3 meter papan anjal individu wanita Sukan SEA Hanoi hari ini.

Sukan SEA: Wendy sumbang emas kelima

KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan dominasi dalam acara terjun di Pusat Akuatik My Dinh apabila penerjun wanita, Wendy Ng Yan Yee meraih pingat emas kedua peribadinya di Sukan SEA Hanoi selepas mengungguli saingan 3 meter (m) papan anjal individu wanita, sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan atlet berusia 28 tahun berkenaan menyumbang emas kelima buat kontinjen Malaysia.

Wendy yang mempamerkan penguasaan sejak terjunan pertama mengutip keseluruhan 270.60 mata dalam lima terjunan sekali gus membolehkan dia mempertahankan emas yang dimenanginya tiga tahun lalu di Filipina.

Rakan senegara, Ong Ker Ying meraih perak apabila mengutip 242.40 mata manakala gangsa menjadi milik penerjun Singapura, Fong Kay Yian dengan 230.15 mata.

Semalam, gandingan Wendy bersama Ker Ying berjaya menjelmakan emas keempat buat Malaysia selepas mendominasi acara 3m papan anjal seirama.

Berita Harian X