Isnin, 9 Mei 2022 | 7:56pm
Atlet terjun negara, Wendy Ng Yan Yee (kanan) dan Ong Ker Ying (kiri) bergambar dengan pingat emas selepas mengungguli acara 3 meter papan anjal seirama wanita Sukan SEA 2021 di Pusat Akuatik My Dinh hari ini. - BERNAMA
Atlet terjun negara, Wendy Ng Yan Yee (kanan) dan Ong Ker Ying (kiri) bergambar dengan pingat emas selepas mengungguli acara 3 meter papan anjal seirama wanita Sukan SEA 2021 di Pusat Akuatik My Dinh hari ini. - BERNAMA

Wendy gembira prestasi Ker Ying

KUALA LUMPUR: Penerjun senior, Wendy Ng Yan Yee bangga dengan prestasi ditunjukkan gandingannya yang juga atlet muda, Ong Ker Ying selepas mereka berjaya meraih pingat emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita di Sukan SEA Hanoi, hari ini.

Wendy, 29, yang membuat penampilan keenam pada temasya kali ini, berkata kombinasi mereka juga semakin baik yang turut menjadi salah satu faktor terhadap kejayaan yang dicipta di Pusat Akuatik My Dinh.

"Sebagai atlet senior yang diberi tanggungjawab membawa atlet junior pada Sukan SEA kali ini, saya sangat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkannya. Kami berjaya menyumbangkan satu lagi pingat emas buat skuad terjun negara.

"Perjalanan kami sepanjang saingan kali ini tidaklah sempurna tetapi saya gembira kerana kami berjaya melakukannya (memenangi emas)," kata Wendy yang mempertahankan emas dimenanginya tiga tahun lalu di Filipina dalam acara berkenaan bersama Nur Dhabitah Sabri.

Sementara itu, Ker Ying mengakui Wendy yang juga pemenang perak tiga kali Sukan Asia banyak berkongsi pengalaman bagi membantu memperbaiki terjunannya.

"Dia juga mengingatkan saya untuk tidak berasa gementar dan lakukan saja," katanya.

Terdahulu, Wendy-Ker Ying mendominasi saingan 3m papan anjal seirama selepas mengumpul keseluruhan 276.30 mata bagi mengatasi wakil tuan rumah, Mai Hing Hanh-Ngo Phuong Mai yang mencatatkan 237.57 mata.

Gandingan Singapura, Ashlee Tan Yi Xuan-Fong Kay Yian pula di kedudukan ketiga dengan 229.41 mata.

Namun, hanya emas dan perak saja ditawarkan dalam acara itu memandangkan hanya tiga gandingan mengambil bahagian.

Wendy-Ker Ying selepas ini akan mengalihkan fokus mereka bagi memburu emas dalam acara 3m papan anjal individu yang dijadual berlangsung, esok.

Berita Harian X