Ahad, 1 Mei 2022 | 2:48pm
Pelumba trek negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas menjalani pembedahan di Hospital Epworth Richmond, Melbourne pada 21 April lalu. - Foto ihsan FB Azizuhasni Awang.
Pelumba trek negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas menjalani pembedahan di Hospital Epworth Richmond, Melbourne pada 21 April lalu. - Foto ihsan FB Azizuhasni Awang.

Azizulhasni makin pulih selepas jalani pembedahan jantung

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang semakin pulih selepas menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.

Atlet berusia 34 tahun yang juga harapan pingat emas negara pada Olimpik Paris 2024 berkata beliau menjalani pembedahan pembetulan selama tiga jam pada 21 April lalu untuk penyakit itu, yang membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera.

Beliau akan terus menjalani pemulihan di Melbourne dan berkemungkinan hanya kembali menjalani latihan tahun depan.

Ini bermakna pemenang pingat Sukan Olimpik dua kali itu akan terlepas Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou tahun ini, tetapi berazam untuk bersaing pada Olimpik Paris.

"Pasukan perubatan menasihatkan saya untuk melakukan pembedahan secepat mungkin kerana ia adalah situasi yang mengancam nyawa. Saluran (darah) saya tersumbat dan hanya tinggal 20 peratus sahaja mengalir, memang sangat minimum, tambah pula kalau saya buat senaman berintensiti tinggi.

"Kalau saya bersara atau tak aktif pun saya masih perlu menjalani pembedahan dengan cepat kerana keadaan saya akan menjadi lebih teruk apabila saya semakin berusia. Apabila kita semakin tua, otot jantung akan makin menebal, akan menyempitkan lagi saluran yang terhimpit itu," katanya pada sidang akhbar maya dari Melbourne hari ini.

Mohd Azizulhasni berkata beliau mula merasakan simptom sakit dada selepas kemalangan di Brisbane pada 2019 ketika meraih perak di Olimpik Tokyo. Bagaimanapun ujian di hospital termasuk elektrokardiogram (ECG) adalah normal.

Beliau berkata sebaik menyambung semula latihan selepas cuti pasca-Olimpik pada November tahun lalu, beliau rasa sakit luar biasa pada dada seperti serangan jantung, termasuk berpeluh, dan pemeriksaan dengan pakar perunding jantung kardiologi di Melbourne, Dr Barveen Aisha menunjukkan bacaan ECG luar biasa.

"Pemeriksaan seterusnya menunjukkan tekanan, ekokardiogram dan angiogram koronari CT semuanya normal. Hanya selepas imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) pada awal Disember, doktor memaklumkan bahawa saya mempunyai penyakit jarang jumpa, yang hanya ditemui dalam satu peratus daripada populasi.

"Saya memilih untuk melakukan MRI kedua dan masih 50-50, tetapi selepas berbincang dengan pakar perunding bedah kardiotorasik, Dr Aubrey Almeid, seorang daripada pakar bedah jantung terbaik yang disyorkan pakar perunding bedah kanan kardiotorasik merangkap Pengarah Sukan Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon, baru saya dapat keyakinan untuk buat pembedahan," katanya.

Bercakap mengenai keadaan selepas pembedahan, The PocketRocketman itu berkata beliau semakin pulih walaupun menghadapi sedikit keletihan, dan dinasihatkan untuk berehat selama beberapa minggu.

Mohd Azizulhasni juga berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, KBS (Kementerian Belia dan Sukan), Dr Jeffrey, Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia atas bantuan mereka dalam proses itu.

Sementara itu, Dr Jeffrey berkata pasukan perubatan memilih untuk melakukan prosedur arteri koronari dialihkan ke posisi normal melalui pembedahan invasif minimum menerusi teknik mini-sternotomi supaya Mohd Azizulhasni dapat pulih lebih cepat untuk menyambung semula latihan berintensiti tinggi.

"Jantung ini merupakan organ yang memerlukan bekalan darah, setiap orang ada arteri koronari kiri dan kanan. Dalam kes AAORCA seperti Azizul, koronari kanan bersebelahan dengan kiri secara semula jadi ketika kelahiran, yang menimbulkan beberapa masalah seperti kekurangan darah pada otot jantung dan memerlukan pembedahan," katanya.

Kos bagi pembedahan itu ditanggung di bawah insurans MSN.

Mohd Azizulhasni, yang dinobatkan sebagai Olahragawan 2019/2020 baru-baru ini, buat kali keempat selepas 2009, 2010 dan 2017, menjadi pelumba negara pertama memenangi pingat Olimpik selepas membawa pulang gangsa bagi acara keirin pada Olimpik Rio 2016, sebelum merangkul perak di Tokyo.

Beliau turut mencipta sejarah apabila menjuarai acara keirin pada Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong.

- BERNAMA

Berita Harian X