Rabu, 27 April 2022 | 8:12pm
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad mengibarkan Jalur Gemilang sambil disaksikan Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga dari kiri) pada majlis penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Kompleks Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad mengibarkan Jalur Gemilang sambil disaksikan Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga dari kiri) pada majlis penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Kompleks Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.

36 emas sasaran rasmi negara di Sukan SEA Hanoi

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan jumlah sasaran rasmi kontinjen Malaysia bagi temasya Sukan SEA Hanoi bulan depan adalah sebanyak 36 pingat emas.

"Berdasarkan prestasi semasa sebanyak 15 jenis sukan yang di sertai oleh atlet negara dijangka akan menyumbangkan 36 pingat emas," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi 2021 di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata selain 36 emas, kontinjen yang dipimpin Datuk Nur Azmi Ahmad turut diharap dapat membawa pulang 35 perak dan 75 gangsa dengan keseluruhan pingat disasarkan sebanyak 146.

Katanya, sasaran itu realistik atas beberapa faktor seperti kehilangan beberapa 'lubuk' pingat seperti pada temasya Filipina 2019 apabila tidak dapat dipertahankan di Hanoi kali ini seperti sukan pelayaran dan skuasy.

"Sukan terjun dan olahraga di jangka menjadi lubuk pingat emas negara. Kedua-dua sukan ini mampu menyumbang lebih dari lima pingat emas. Berdasarkan prestasi semasa bonus pingat emas mungkin mampu diberikan oleh sukan taekwondo, wushu, petanque, pencak silat, bina badan dan beberapa sukan lagi.

"Sebanyak 72 pingat (25 emas, 18 perak dan 29 gangsa) daripada 27 jenis sukan dan 68 acara yang di menangi di Sukan SEA Filipina tidak dapat di pertahankan kali ini kerana tidak di pertandingkan di Sukan SEA Hanoi 2021.

"Antara pingat yang hilang adalah dari sukan seperti skuasy (empat emas), boling padang (empat emas), skating (dua emas), gimrama (tiga emas acara individu), break dance (satu emas) dan beberapa sukan lain.

"Selain itu sebanyak 22 jenis sukan (seperti pelayaran, ekuestrian, hoki, ragbi, luncur air dan lain-lain) yang biasa menyumbang pingat di beberapa temasya Sukan SEA yang lalu juga tidak di pertandingkan kali ini di Hanoi.

"Ini juga menyebabkan punggutan pingat kontinjen Malaysia kali ini berkurangan atau menurun. Selain itu penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia menyebabkan banyak kejohanan di batalkan atau di tangguhkan pada tahun 2020 dan 2021.

"Daripada 327 pendedahan pertandingan yang diluluskan pada tahun 2020, hanya 67 dapat disertai manakala sebanyak 80 pendedahan pertandingan pada tahun 2021 dapat di sertai daripada 197 yang diluluskan.

"Kekurangan maklumat prestasi atlet negara Asia Tenggara juga menyukarkan perbandingan prestasi dibuat. Atlet negara rantau Asia Tenggara juga mengalami nasib yang sama seperti atlet negara kita.

"Untuk makluman seramai 338 orang atlet pertama kali bertanding di Sukan SEA dan prestasi mereka juga belum dapat di buktikan di pentas Sukan SEA. Walau apa pun alasan, kekangan dan kekurangan saya tetap yakin atlet negara akan berjuang habis-habisan untuk memenangi pingat emas bagi rakyat Malaysia," katanya.

Mengikut rekod, kontinjen Malaysia pada edisi terdahulu mengakhiri perjuangan di kedudukan kelima carta pungutan pingat dengan mengumpul 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa, ketinggalan 170 peratus pungutan emas oleh juara keseluruhan, Filipina.

Berita Harian X