Rabu, 27 April 2022 | 3:41pm
EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman (kiri) bersama Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (dua dari kiri) beramah mesra dengan bekas atlet pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri di Bukit Kiara, hari ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman (kiri) bersama Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (dua dari kiri) beramah mesra dengan bekas atlet pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri di Bukit Kiara, hari ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

200 atlet para, bekas atlet terima bantuan Selangor

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri tahun ini tampak bakal disambut lebih ceria oleh 200 atlet, atlet para dan bekas atlet yang sudah berjasa serta mengharumkan nama Selangor dan negara sebelum ini.

Semua penggiat sukan ini menerima sumbangan daripada kerajaan Selangor melalui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman sekali gus menunjukkan komitmen berterusan mereka dalam menjaga kebajikan atlet dan bekas atlet .

Mereka menerima sumbangan sebanyak RM200 menerusi program yang turut mendapat kerjasama berterusan dari Yayasan Kebajikan Atlat Kebangsaan (YAKEB) dan Persatuan Orang Buta Malaysia.

"Ini kali ketiga ia diadakan antara kerajaan negeri Selangor, YAKEB dan Persatuan Orang Buta Malaysia. Program hari ini seperti tahun seblum itu, kita memberikan bantuan kepada bekas atlet yang pernah mencipta nama atas nama Selangor.

"Untuk hari ini, ia membabitkan seramai 200 bekas atlet dengan 50 hadir pada majlis hari ini manakala yang lain akan disalurkan menerusi akaun bank masing-masing," kata Mohd Khairuddin selepas majlis berkenaan.

Mohd Khairuddin berkata jumlah peruntukan disediakan kerajaan negeri untuk bekas atlet bagi tahun ini saja adalah RM250,000.

Katanya, RM50,000 dalam bentuk bantuan raya manakala RM200,000 lagi dalam bentuk program Atlet Ceria seperti membaiki rumah kediaman mereka dan peralatan rumah.

"Saya berterima kasih kepada YAKEB dan Persatuan Orang Buta Malaysia yang sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Selangor untuk memastikan bekas atlet Selangor terus dijaga sehingga ke hari ini."

Berita Harian X