Isnin, 11 April 2022 | 7:27am
Scottie Scheffler meraikan kemenangan di lubang ke-18 selepas memenangi Masters di Augusta National. - Foto AFP
Scottie Scheffler meraikan kemenangan di lubang ke-18 selepas memenangi Masters di Augusta National. - Foto AFP

Scheffler muncul juara Masters

AUGUSTA, Amerika Syarikat: Scottie Scheffler menjuarai Masters edisi ke-86 dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia dengan kemenangan tiga pukulan ke atas Rory McIlroy di Augusta National.

Scheffler melakukan empat birdie dalam pusingan satu bawah par 71 untuk keseluruhan 10 bawah par 278.

Juara major empat kali McIlroy menampilkan persembahan cemerlang dengan lapan bawah par 64 untuk melonjak ke tangga kedua dengan catatan keseluruhan tujuh bawah par 281.

Bagaimanapun tumpuan kejohanan sebelum itu terarah kepada kepulangan juara major 15 kali Tiger Woods yang memburu gelaran keenamnya di Augusta.

Woods yang kembali menyertai kejohanan kompetitif selepas hampir kehilangan kaki kanannya akibat kemalangan 14 bulan lalu, mengakhiri dua pusingan terakhir dengan catatan enam atas par 78 dan keseluruhan 13 atas par 301.

Bagi Woods ia adalah pencapaian terbaiknya sepanjang karier.

"Untuk tidak memenangi kejohanan, iya. Tanpa ragu-ragu. Kejohanan ini amat bermakna bagi saya dan keluarga.

"Tahun saya dilahirkan adalah tahun di mana lelaki kulit hitam pertama bermain di Masters, Lee Elder. Dia ada ketika saya menang pada tahun 1997. 25 tahun kemudian saya di sini beraksi sekali lagi.

"Masih banyak yang perlu saya lakukan dan saya tidak sabar untuk mengharunginya," kata Woods yang tidak menyertai sebarang kejohanan sejak Masters 2020. - AFP

Berita Harian X