Rabu, 6 April 2022 | 8:36am
Tiger Woods berlatih menjelang Masters di Augusta National Golf Club. - Foto AFP
Tiger Woods berlatih menjelang Masters di Augusta National Golf Club. - Foto AFP

Saya hanya main untuk menang - Woods

AUGUSTA, Georgia: Juara major 15 kali Tiger Woods melaungkan amaran kepada pesaing Masters: "Saya di sini hanya untuk menang."

Legenda golf Amerika Syarikat berusia 46 tahun itu kembali bersaing di kejohanan kompetitif 14 bulan selepas mengalami kemalangan yang mencederakan kaki kanannya.

"Saya tidak muncul di kejohanan kecuali saya fikir saya mampu memenanginya. Itu sikap yang sentiasa saya terapkan.

"Saya suka bersaing dan saya rasa jika saya masih boleh bersaing di peringkat tertinggi, saya akan mencubanya. Sekarang ini saya akan bermain.

"Jika saya rasa saya masih boleh menang, saya akan bermain. Jika saya rasa tidak mampu, anda tidak akan dapat melihat saya di luar sana," kata Woods.

Woods, yang memakai kasut khas bagi menyokong buku lalinya, akan turun bersama juara Terbuka British 2010 Louis Oosthuizen dari Afrika Selatan dan pemain Chile Joaquin Niemaan untuk dua pusingan pertama Master yang bermula esok.

Kehadiran Woods menarik lebih 50,000 penonton ketika dia berlatih di Augusta. Ini adalah penampilan ke-24nya di The Masters dan Woods masih memburu Jaket Hijau keenamnya bagi menyamai rekod sepanjang zaman Jack Nicklaus. - AGENSI

Berita Harian X