Rabu, 30 March 2022 | 6:13pm
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (duduk empat kanan) bersama pegawai dan peserta kursus selepas majlis penyampaian sijil.
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (duduk empat kanan) bersama pegawai dan peserta kursus selepas majlis penyampaian sijil.

27 bekas atlet tamat kursus sains sukan

KUALA LUMPUR: Seramai 27 bekas atlet menamatkan kursus sains sukan tahap satu anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di sini, hari ini dan dijadual menyertai kursus tahap dua yang bakal dianjurkan pada Julai.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, semua peserta lulus kursus berkenaan dan mereka akan ditawarkan mengikuti kursus tahap dua bersama-sama bekas peserta kursus tahap 1 yang pernah dianjurkan tahun lalu.

"Seramai 27 atlet mengambil kursus selama seminggu ini dan semuanya berjaya. Tahun lalu, kita ada peserta yang berjaya dan kita akan kumpulkan mereka pada bulan Jun ini di mana Institut Sukan Negara (ISN) akan membuka pendaftaran untuk kursus tahap 2.

"Kita akan menggalakkan mereka semua ini untuk ke tahap dua dan seterusnya ke tahap tiga untuk mereka melengkapkan kursus sains sukan," katanya selepas menyampaikan sijil tamat kursus operasi hospitaliti dan sains sukan tahap 1 kepada bekas atlet negara di pejabat YAKEB, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu juga, seramai 13 ahli YAKEB dan lapan peserta di bawah Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) turut menerima sijil operasi hospitaliti hasil daripada kerjasama persatuan berkenaan, YAKEB, DHS Hospitality Academy dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad.

"Kami tak terfikir yang kami boleh menyertai program yang sebenarnya untuk mereka yang bukan pekak ini. Kami berterima kasih atas kesempatan YAKEB, memberi sokongan dan galakan kepada MSDeaf dan MSDeaf turut menawarkan program ini kepada bekas atlet pekak di seluruh Malaysia.

"Pengendalian kursus ini amat membanggakan sekali," kata wakil kepada peserta, Mohd Yazid Bain. "Kami sudah menamatkan kursus dan selepas ini akan menjalankan perusahaan kami.

"Apapun, kami akan menggalakkan bekas atlet lain untuk sertai kursus ini. Kami adalah kumpulan pertama tetapi kami akan membantu atlet pekak untuk berjaya di lapangan yang mereka ceburi."

Berita Harian X