Sabtu, 19 March 2022 | 6:37pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap pada pelancaran Malaysia Sports League 2022 di Kompleks Sukan Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap pada pelancaran Malaysia Sports League 2022 di Kompleks Sukan Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar.

KBS sentiasa pantau perkembangan Shereen

SHAH ALAM: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memantau perkembangan atlet olahraga wanita kebangsaan, Sheeren Samson Vallabouy yang mencipta sensasi menerusi kejayaan yang dilakarnya di Kansas, Amerika Syarikat (AS), minggu lalu.

Pelari berusia 24 tahun itu, mempamerkan prestasi cemerlang apabila memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 53.79 saat (s) ketika menjuarai acara 400 meter (m) Kejohanan Divisyen 2 Trek dan Padang Dalam Dewan National Collegiate Athletic Association (NCAA).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pencapaian Sheeren adalah sesuatu yang membanggakan dan mengharumkan nama negara.

"Alhamdulillah anak Ipoh, datang dari kawasan yang saya wakili iaitu Parlimen Tambun. Dia mendapat biasiswa belajar di universiti di AS (Winona State University, Minnesota) dan telah mengharumkan nama negara baru-baru ini. Ini satu perkara yang membanggakan.

"Ramai mengatakan bahawa kita tidak meraikan (kemenangan Shereen). Sudah tentu kita berbangga tetapi tidak sampai tahap kita nak umum cuti. Kita semua amat berbangga dan tentunya pencapaian dia sentiasa kita pantau," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Malaysia Sports League (MSL) di sini.

Ahmad Faizal berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan ibu pelari berkenaan, Josephine Mary yang juga bekas atlet kebangsaan bagi melihat bentuk bantuan atau sokongan yang boleh diberikan untuk akademi olahraga yang diusahakannya.

"Bukan sahaja Sheeren tetapi banyak lagi atlet lain bawah Josephine Mary yang berbakat, juga dalam radar Majlis Sukan Negara (MSN).

"Tentunya kita akan terus bagi sokongan kepada Josephine Mary dan suami, Samson Vallabouy mengambil inisiatif membangunkan bakat-bakat baharu ini. Kita sentiasa memberi sokongan dan kalau perlu, kita akan bekerjasama dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM)," katanya.

Berita Harian X