Selasa, 15 March 2022 | 3:22pm
Atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi (kanan) pada sidang media berkaitan persaraannya di Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA
Atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi (kanan) pada sidang media berkaitan persaraannya di Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA

Farah yakin Malaysia kekal dominasi di Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Bekas gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi menyuarakan keyakinan skuad gimnastik artistik wanita negara yang akan menyertai Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei ini mampu mengekalkan dominasi dalam acara itu di temasya dwitahunan berkenaan.

Farah, 28, yang mengumumkan persaraannya, Sabtu lalu, berkata dengan bakat dimiliki atlet seperti Tan Ing Yueh dan Rachel Yeoh, mereka mempunyai potensi untuk diletakkan sebagai sandaran bagi memenangi pingat emas buat kontinjen negara.

"Sudah pasti Ing Yueh akan mengetuai pasukan pada Sukan SEA kali ini. Dia adalah antara rakan sepasukan saya sejak kecil lagi. Dia pernah memenanghi emas sebelum ini (Kuala Lumpur 2017) dan sangat berbakat.

"Rachel juga mempunyai potensi selepas memenangi gangsa di Manila (2019). Mungkin ramai tidak tahu yang Rachel terpaksa menjalani pembedahan kedua-dua lutut selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan selepas itu dia membuat kemunculan semula dengan meraih gangsa di Manila.

"Ini semua membuktikan semangat mereka untuk bertanding mewakili Malaysia adalah sangat tinggi biarpun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan. Jadi, saya tahu mereka akan buat Malaysia bangga," kata Farah yang membawa pulang tiga emas di Sukan SEA Manila 2019.

Di Manila, skuad gimnastik artistik lelaki dan wanita negara menyumbang empat daripada keseluruhan sembilan emas yang dimenangi dalam sukan gimnastik bagi membolehkan Malaysia muncul juara keseluruhan.

Dalam pada itu, Farah turut yakin Malaysia akan mempunyai wakil untuk kategori lelaki dan wanita yang layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 bagi gimnastik artistik.

Di Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu, Malaysia mempunyai dua wakil menerusi penampilan Farah dan atlet lelaki, Jeremiah Loo Phay Xing.

Berita Harian X