Sabtu, 12 March 2022 | 5:31pm
Farah Ann beraksi kali terakhir di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu.
Farah Ann beraksi kali terakhir di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu.

Farah Ann akhirnya umum persaraan

KUALA LUMPUR: Selepas membisu mengenai perjalanan kariernya, ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi akhirnya tampil mengucapkan 'selamat tinggal' kepada sukan yang dicintainya itu hari ini.

Ia jelas satu keputusan sukar buat gimnas berusia 27 tahun itu, apatah lagi, selepas 25 tahun berkecimpung dalam sukan berkenaan dengan pencapaian terbaiknya beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Dua puluh lima tahun lalu, seorang anak kecil mengambil keberanian dan menyertai dunia gimnastik. Terpesona untuk menjadi seorang gimnas, saya memulakan perjalanan yang akhirnya menjadi minat terbesar dalam hidup saya.

"Sekarang selepas 25 tahun yang menakjubkan dalam sukan ini, saya akhirnya sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal daripada menjadi seorang gimnas kompetitif.

"Apa yang boleh saya katakan, terima kasih gimnastik atas memori indah dan pengalaman yang diperoleh. Di sepanjang perjalanan itu, saya mengorak langkah untuk mencapai impian saya, layak dan beraksi di Sukan Olimpik, saya bersyukur atas persaraan saya yang mengikut jangka masa.

"Ia begitu menakjubkan. Terima kasih kepada semua. Gimnastik akan sentiasa menjadi sebahagian daripada saya, kerana ia akan selalu menjadi minat saya. Saya berharap dapat memberikan sesuatu kembali kepada sukan ini. Saya mungkin bersara sebagai atlet tetapi saya akan sentiasa terus terbabit dalam dunia sukan," kata Farah dalam satu hantaran di Instagramnya.

Sebagai rekod, Farah antara atlet gimnastik artistik negara yang paling berjaya di Sukan SEA apabila sebelum ini berjaya meraih tujuh emas menerusi penampilan pada edisi 2015 di Singapura, 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Manila.

Dia juga mencipta sejarah apabila menjadi gimnas ketiga negara menempah tiket beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas kali terakhir gimnas lelaki, Ng Shu Wai beraksi pada Sukan Olimpik 2004 di Athens.

Seorang lagi gimnas wanita negara yang pernah ke pentas Olimpik ialah Au Li Yen pada Olimpik 2000 di Sydney.

Berita Harian X