Rabu, 2 March 2022 | 6:42pm
Sebanyak 80 peratus tenaga muda menjadi taruhan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada temasya Sukan SEA Vietnam di Hanoi pada 12 hingga 23 Mei ini.
Sebanyak 80 peratus tenaga muda menjadi taruhan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada temasya Sukan SEA Vietnam di Hanoi pada 12 hingga 23 Mei ini.

80 peratus pemain muda galas tugas di Sukan SEA

KALA LUMPUR: Sebanyak 80 peratus tenaga muda menjadi taruhan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk membantu skuad negara menyumbang pingat pada temasya Sukan SEA Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini.

Penolong Setiausaha Satu PSM, Yusoff Ali berkata 24 pemain masing-masing 12 lelaki dan 12 wanita akan bertanding dalam sukan itu yang diletakkan dalam kategori A iaitu kos ditanggung sepenuhnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Katanya, senarai penuh pemain di bawah umur 23 tahun terbabit sudah dihantar kepada MOM bagi tujuan penilaian sebelum layak menyertai temasya dwitahunan itu.

"Senarai nama pemain belum dimuktamadkan kerana pemilihan masih boleh dibuat menerusi kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) yang sedang dijalankan ketika ini.

"Mereka bakal diletakkan bersama-sama pemain senior untuk memberi keseimbangan dalam perlawanan bagi menghadapi pasukan lebih hebat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma MOM, di sini hari ini.

Yusoff berkata dengan adanya kuota 80 peratus pemain muda ke Hanoi, ia secara tidak langsung memberikan mereka peluang untuk menyerlah selepas kira-kira dua tahun tidak pernah terbabit dalam sebarang pertandingan di peringkat antarabangsa susulan COVID-19.

Katanya, PSM juga mahu melihat pembabitan pemain muda itu pada Sukan SEA kali ini sebagai pemangkin bagi meneruskan kesinambungan skuad sepak takraw dalam mana-mana kejohanan untuk tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Menurutnya, pasukan lelaki akan bertanding dalam acara regu berpasukan dan beregu berpasukan, sementara pasukan wanita akan mewakili negara dalam acara regu berpasukan dan kuadran.

Merujuk kepada sasaran pingat, Yusoff berkata dua pingat perak dan satu gangsa disandarkan di bahu pasukan lelaki, sementara dua pingat gangsa menjadi sasaran untuk pasukan wanita.

Katanya, pemain yang terpilih akan menjalani latihan pusat di Bukit Jalil pada bulan Ramadan ini dan dikawal selia oleh pengarah kejurulatihan untuk menilai prestasi mereka.

- BERNAMA

Berita Harian X