Khamis, 17 Februari 2022 | 10:00am
Tiger Woods di sidang akhbar menjelang kejohanan Jemputan Genesis di Kelab Country Riviera, Pacific Palisades, California. - Foto AFP
Tiger Woods di sidang akhbar menjelang kejohanan Jemputan Genesis di Kelab Country Riviera, Pacific Palisades, California. - Foto AFP

Woods belum sedia sertai Jelajah

LOS ANGELES: Tiger Woods yakin dia akan kembali ke kejohanan kompetitif tetapi tidak sepenuhnya selepas kecederaan kaki akibat kemalangan kereta setahun lalu menjejaskan pergerakannya.

"Iya, saya boleh kembali. Cuma saya berharap saya boleh beritahu anda bila saya akan bermain semula. Saya juga ingin tahu, tetapi saya tidak tahu.

"Aktiviti golf saya amat terhad. Saya boleh cip dan putt dengan baik serta memukul bola dengan iron pendek, tetapi tidak dengan yang panjang," kata Woods menjelang kejohanan Jemputan Genesis di Kelab Country Riviera.

Juara major 15 kali berusia 46 tahun itu berkata, dia tidak dapat membayangkan untuk beraksi penuh dalam Jelajah PGA Amerika Syarikat.

Disember lalu, Woods menceriakan peminatnya apabila dia dan anaknya Charlie beraksi di Kejohanan PNC di Florida.

Bagaimanapun menurut Woods, kejohanan itu tidak seperti kejohanan sebenar dan dia boleh menggunakan kart di atas padang memandangkan dia belum mampu berjalan dengan baik.

"Saya masih berusaha untuk berjalan dengan baik. Ia memakan masa. Ia semakin pulih tetapi bukan pada kadar yang saya harapkan," katanya. - AFP

Berita Harian X