Isnin, 17 Januari 2022 | 7:04pm
Gambar fail - Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Sri Dr Anil Jeet Singh. - Foto BERNAMA.
Gambar fail - Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Sri Dr Anil Jeet Singh. - Foto BERNAMA.

Saingan MHL TNB bermula 18 Februari

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menetapkan Kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL TNB) bagi musim ini akan berlangsung dari 18 Februari hingga Jun ini.

Kejohanan yang membabitkan aksi lelaki dan wanita itu, akan bermula kira-kira sebulan dari sekarang namun Jawatankuasa Pertandingan perlu mengambilkira jumlah pasukan yang mengesahkan penyertaan sebelum memutuskan tarikh kempen 2022 berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Sri Dr Anil Jeet Singh berkata, sekiranya menerima sambutan menggalakkan dari segi jumlah penyertaan, kejohanan berkemungkinan akan mewujudkan kembali saingan Divisyen 1.

"Penganjuran kejohanan pada tahun ini juga akan kembali kepada format liga iaitu perlawanan akan dijalankan secara timbal balik dan tidak akan dijalankan mengikut formal karnival seperti tahun lalu.

"Perlawanan Sumbangsih akan berlangsung pada hari pembukaan iaitu 18 Februari di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan juara TNB MHL, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan bertemu juara Piala TNB 2021, Terengganu Hockey Team (THT).

"Semua perlawanan timbal balik akan berlangsung di Semenanjung. Jawatankuasa Kerja TNB MHL 2022 akan melakukan pemeriksaan padang hoki yang boleh dijadikan sebagai venue perlawanan," katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Anil berkata,bagi menghormati Ramadhan, liga akan berehat selama tempoh itu dan saingan akan kembali disambung selepas itu.

"Pasukan yang mengambil bahagian dibenarkan mendaftarkan pemain kebangsaan dan pemain import. Namun dalam satu-satu perlawanan, hanya enam pemain campuran import dan pemain kebangsaan dibenarkan berada di dalam padang.

"Pasukan yang ingin mendaftarkan pemain import perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk mendapatkan kebenaran dan pelepasan bagi pemain berkenaan ke Malaysia untuk menyertai saingan liga," katanya.

Untuk rekod, Kejohanan TNB MHL 2021 telah dilangsungkan secara berpusat dan menggunakan format karnival gelembung sukan susulan penularan pandemik COVID-19 dengan lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita mengambil bahagian.

Berita Harian X