Rabu, 12 Januari 2022 | 6:46pm
Halim tegaskan sokongan ASTAF terhadap penganjuran STL tiada kaitan dengan PSM.
Halim tegaskan sokongan ASTAF terhadap penganjuran STL tiada kaitan dengan PSM.

'Sokongan ASTAF tiada kaitan dengan PSM'

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) menegaskan sokongan badan induk itu terhadap penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) adalah bertujuan untuk merancakkan kembali aktiviti penganjuran sepak takraw di Asia dan demi pembangunan sukan itu sendiri.

Presiden ASTAF, Datuk Halim Kader, berkata pada yang sama badan induk itu sentiasa komited dengan segala bentuk penganjuran namun menegaskan penganjuran itu perlu berteraskan undang-undang yang sudah ditetapkan.

"ASTAF ingin menegaskan bahawa sokongan terhadap penganjuran liga STL tiada kaitan dengan PSM (Persatuan Sepaktaraw Malaysia) yang bukan lagi ahli gabungan ASTAF disingkir pada Mei 2021.

"ASTAF sentiasa bersifat terbuka untuk menerima entiti sepak takraw di Malaysia sebagai kerabat ASTAF dengan syarat seluruh kepimpinan terutamanya pemegang jawatan utama mestilah memiliki nilai amanah, integriti, telus, akauntabiliti dan bersikap adil kepada semua ahli gabungannya.

"Kami juga tidak akan menerima sesebuah persatuan sukan yang barisan pucuk pimpinannya kerap membawa masalah, namun hak dan pembabitan mereka demi kemajuan sukan sepak takraw tidak akan sesekali dinafikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Halim berharap pemimpin persatuan sukan kebangsaan dipilih berdasarkan kebolehan dan ilmu pengetahuan yang bersesuaian dengan misi dan visi persatuan.

"ASTAF sentiasa memelihara hubungan baik dengan semua ahli gabungannya. Kami juga berharap agar entiti sepak takraw Malaysia nanti akan menghormati dan memelihara keharmonian bersama dalam keluarga besar ASTAF," katanya.

Berita Harian X