Rabu, 12 Januari 2022 | 4:48pm
Shafie terkejut dengan langkah KBS gugurkan atlet kerana bimbang boleh datangkan impak negatif.
Shafie terkejut dengan langkah KBS gugurkan atlet kerana bimbang boleh datangkan impak negatif.

Elaun atlet lebih rendah daripada gaji minimum

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengkaji semula keputusan untuk menggugurkan atlet daripada program kebangsaan dan menyelaraskan elaun.

Presidennya Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata pihaknya yang terkejut dengan langkah berkenaan, bimbang tindakan itu bakal mendatangkan impak negatif yang mendalam kepada program pembangunan atlet dan bidang sukan negara dalam jangka panjang.

Menurutnya, sebagai badan pekerja, pihaknya mendapati tindakan mengurangkan elaun menyebabkan imbuhan diterima atlet kebangsaan lebih rendah daripada gaji minimum RM1,200 yang ditetapkan kerajaan dan meletakkan kedudukan dalam kumpulan B40, sekiranya atlet tersebut tidak mempunyai sumber pendapatan lain.

"Kita perlu sedar bahawa walaupun atlet menerima elaun semata-mata, tempoh mereka berada dalam tempoh latihan merupakan satu bentuk kerjaya yang perlu dilayan dan dijaga serta diberi perhatian dengan penuh hormat dan bermaruah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Shafie berkata sukan merupakan bidang yang memerlukan pelaburan dan pengurusan jangka panjang dan besar bagi melahirkan barisan juara di peringkat nasional, serantau dan global.

Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini dilaporkan menggugurkan 144 atlet serta menyelaraskan semula elaun bulanan bagi tahun ini, berikutan bajet kepada agensi di bawah KBS itu dikurangkan.

Menurut penyelarasan itu, pemenang pingat emas Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN akan menerima elaun RM2,000, pemenang pingat perak dan gangsa menerima RM800, manakala RM800 buat atlet senior dan RM500 buat atlet pelapis yang berada dalam program tetapi tidak meraih pingat.

Elaun latihan bagi atlet yang merangkul pingat Sukan Asia/Para Asia dan Sukan Komanwel pula adalah sama, menyaksikan pemenang emas menerima kadar elaun RM4,500 diikuti RM4,000 (perak) dan RM3,500 (gangsa).

Imbuhan RM7,500 bakal menanti pemenang emas Sukan Olimpik/Paralimpik diikuti RM7,000 (perak) dan RM6,000 (gangsa). - BERNAMA

Berita Harian X