Isnin, 27 Disember 2021 | 2:49pm
Pasukan ‘TeamAzizul’ memunggah barangan untuk diberikan kepada mangsa banjir.
Pasukan ‘TeamAzizul’ memunggah barangan untuk diberikan kepada mangsa banjir.

'TeamAzizul' bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang turut terpanggil bagi menghulurkan bantuan terhadap mangsa banjir di Malaysia. Menerusi pasukannya 'TeamAzizul', setakat ini mereka sudah mengagihkan bantuan di beberapa kawasan seperti di Temerloh, Pahang dan Sepang, Selangor.

"Atas rasa bertanggungjawab dan prihatin, kami daripada TeamAzizul mengambil inisiatif membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa tempat seperti Temerloh dan Sepang buat masa ini.

"TeamAzizul membuat bantuan secara terus kepada mangsa dengan bantuan NGO (Badan Bukan Kerajaan) tempatan yang sangat prihatin dan membantu.

"Kami menghantar bantuan bahan kering dan minuman serta 'waterpump' (pam air) untuk memudahkan mereka melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Untuk projek seterusnya, kami cuba menghulurkan bantuan kepada setiap keluarga dengan satu set periuk nasi termasuk satu dapur gas dua pembakar termasuk tilam dan bantal yang memerlukan kos sebanyak RM300 untuk satu keluarga," kata pemenang pingat perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu di akaun Instagram miliknya.

Azizul turut mengajak sumbangan orang ramai untuk membantu insan terkesan akibat banjir ini dengan menyumbang kepada bapa saudaranya, Mohamad Uzir Ahmad di akaun Maybank, 564155553941.

Berita Harian X