Khamis, 23 Disember 2021 | 6:21pm
Atlet angkat berat kebangsaan, Mohamad Aniq Kasdan.
Atlet angkat berat kebangsaan, Mohamad Aniq Kasdan.

PABM mahu jadi pencabar kompetitif Sukan SEA, Asia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mahu keluar daripada zon selesa dengan tidak lagi hanya memberi tumpuan kepada usaha memenangi emas di Sukan Komanwel sebaliknya mahu menjadi pencabar dalam saingan lebih kompetitif di Sukan SEA dan Sukan Asia.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata bagi merealisasikan matlamat itu badan induk berkenaan akan menyenaraikan atlet terbaik daripada pasukan yang baharu dibentuk termasuk Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin bagi menyertai tiga temasya tahun depan iaitu Sukan SEA Vietnam, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou.

Katanya, biarpun ramai beranggapan Aniq dan Aznil yang sudah layak ke Sukan Komanwel dan perlu diberi ruang bagi membolehkan fokus terhadap misi meraih emas di temasya berkenaan namun beliau menegaskan itu adalah corak pemikiran lama.

"Kita sudah pun mengumumkan pembentukan pasukan baharu yang mana fokus adalah untuk Sukan SEA, Komanwel dan Asia. Mereka sepatutnya menyertai ketiga-tiga temasya berkenaan.

"Saya tahu ada orang kata kalau angkat di Sukan SEA nanti akan cedera dan sebagainya. Ini yang saya hairan apabila ada orang sukan bercakap begitu. Kalau kita tengok Liverpool atau pasukan lain dalam Liga Perdana Inggeris, bermain tiga atau empat perlawanan seminggu tiada masalah pun.

"Kita perlu bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dan sebab itu pendedahan adalah sangat penting. Kita juga perlu ingat tahap Sukan SEA dan Sukan Asia adalah lebih tinggi berbanding Komanwel.

"Selama ini kita hanya menumpukan Sukan Komanwel disebabkan ia memberikan kita emas tetapi kini kita tidak boleh lagi berfikir begitu untuk kita melangkah lebih jauh," kata Ayub kepada BH Sukan.

Kelmarin, PABM mengumumkan enam atlet disenaraikan dalam pembentukan pasukan angkat berat kebangsaan yang baharu dengan misi memburu pingat pada Sukan SEA Vietnam dan Sukan Komanwel Birmingham, tahun depan.

Mereka ialah Aniq yang beraksi dalam kategori 55 kilogram (kg), Aznil (61kg), Muhammad Erry Hidayat (73kg), Mohd Nasir Roslan (81kg), Muhammad Hafiz Shamsuddin (109+) dan Elly Cassendre Engelbert (55kg wanita).

Sukan SEA Vietnam dijadual bermula 12 hingga 23 Mei, diikuti Sukan Komanwel (28 Julai hingga 8 Ogos) dan Sukan Asia (10 hingga 25 September).

Berita Harian X