MIAMI, Amerika Syarikat: Tiger Woods berkata dia akan kembali ke saingan golf kompetitif pada Kejuaraan PNC minggu depan di Florida.
Bekas pemain nombor satu dunia itu tidak bermain selepas kecederaan kaki akibat kemalangan kereta 10 bulan lalu dan akan bermain pada kejuaraan 16 hingga 19 Disember ini, bersama anaknya, Charlie.
"Walaupun ia tahun yang panjang dan mencabar, saya teruja untuk menutupnya dengan beraksi pada Kejuaraan PNC bersama anak lelaki saya, Charlie," kata Woods menerusi hantaran pada akaun Twitter miliknya.
"Saya bermain sebagai ayah dan saya amat bangga serta gembira," kata Woods yang cedera kaki kanan apabila kenderaan dipandunya di kawasan kejiranan Los Angeles kemalangan pada Februari.
Kejuaraan PNC yang menjadi sebahagian daripada Jelajah PGA akan diadakan di Ritz-Carlton Golf Club dekat Orlando, akan menyaksikan juara 20 major itu bergandingan dengan pemain pilihannya.
Woods bermain pada acara 2020 bersama Charlie, 12, dalam kejohanan yang dimenangi Justin Thomas serta ayahnya, Mike.
- AFP