Khamis, 14 Oktober 2021 | 10:29am
Kemalangan yang berlaku pada 26 Jun 2021 membabitkan Peringkat 1 edisi ke-108 Tour de France antara Brest dan Landerneau. - AFP
Kemalangan yang berlaku pada 26 Jun 2021 membabitkan Peringkat 1 edisi ke-108 Tour de France antara Brest dan Landerneau. - AFP

Wanita sebabkan kemalangan TdF dibicarakan

BREST, Perancis: Seorang penonton yang menyebabkan satu daripada kemalangan paling besar dalam sejarah Tour de France (TdF) berdepan perbicaraan hari ini atas dakwaan menyebabkan ramai pelumba cedera pada hari pertama acara berbasikal itu hujung Jun lalu.

Wanita Perancis berusia 31 tahun itu yang identitinya dirahsiakan selepas menjadi sasaran di media sosial, memberitahu pendakwaraya dia malu dengan "kebodohannya."

Dia berharap papan dipegangnya yang tertulis "Allez, Opi-Omi" menggunakan bahasa Jerman bermaksud "datuk dan nenek," bagi mengenang asal usulnya dari Jerman dapat dilihat kamera televisyen.

Namun tindakannya di depan peloton yang besar di jalan yang sempit menuju penamat di barat Perancis adalah keterlaluan.

Pelumba Jerman, Tony Martin gagal mengelak dan terjatuh menyebabkan ramai lagi pelumba terbabit dalam insiden itu.

Rakaman video kemalangan dan anggota perubatan bergegas membantu mangsa, mencetuskan kemarahan peminat dan penganjur perlumbaan, terutama apabila menyedari wanita itu meninggalkan tempat kejadian tanpa membantu.

Dia menyembunyikan diri selama empat hari sebelum menyerah diri kepada polis.

Beberapa pelumba terpaksa menarik diri daripada perlumbaan termasuk Marc Soler dari Sepanyol yang patah kedua-dua tangan.

Didakwa membahayakan nyawa dan menyebabkan kecederaan disengajakan, dia berdepan denda hingga 15,000 euro (RM72,234) dan setahun penjara. - AFP

Berita Harian X