Khamis, 7 Oktober 2021 | 8:59pm
Lapan daripada 11 ahli gabungan PSM kini kembali ke pangkuan badan induk sepak takraw negara itu.
Lapan daripada 11 ahli gabungan PSM kini kembali ke pangkuan badan induk sepak takraw negara itu.

8 ahli gabungan kembali ke pangkuan PSM

KUALA LUMPUR: Lapan daripada 11 ahli gabungan yang keluar sebelum ini sudah kembali ke pangkuan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) secara bersyarat.

Perkembangan itu dimaklumkan Naib Presiden PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman yang mana hanya tiga ahli gabungan yang tidak bersama badan induk itu iaitu Selangor, Putrajaya dan Sarawak.

Katanya, mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PSM hari ini membuat pendirian sekiranya ketiga-tiga persatuan berkenaan mahu kembali bersama PSM, mereka hanya boleh mengemukakan permohonan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu.

"Antara syarat ditetapkan adalah menggubal perlembangan dan juga dari sudut kewangan, audit dan sebagainya. Kita sudah mencapai persetujuan dengan PJS (Pesuruhjaya Sukan) dan PSM serta G11 dahulu. Bila sudah ada persetujuan, PSM berbesar hati minta kita masuk semula.

"Maka lapan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah sudah kembali ke PSM secara bersyarat agar kita dapat selesaikan AGM dan soal kewangan," katanya yang turut bersama kumpulan G11 sebelum ini.

Sementara itu, Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, Selangor, Putrajaya dan Sarawak tidak boleh untuk menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan pada 30 Oktober ini dan AGM yang tarikhnya akan ditentukan nanti.

"Sekiranya ketiga-tiga negeri ini ingin bersama PSM semula, ia haruslah diambil kira selepas mesyuarat AGM akan datang. Ini bermakna ketiga-tiga negeri ini tidak akan dapat memasuki mesyuarat EGM dan AGM.

"Dalam tempoh terdekat, pihak pengurusan akan menghantar semula draf pindaan perlembagaan kepada negeri-negeri supaya apabila mesyuarat EGM diadakan nanti, kita senang mendapat sokongan daripada perwakilan," katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya juga akan mengemukakan permohonan kepada Persekutuan Sepaktaktraw Asia (ASTAF) untuk diterima semula menjadi anggota badan induk itu.

"Kami akan meminta pihak PJS mendaftarkan semula PSM ke ASTAF," katanya.

Berita Harian X