Selasa, 28 September 2021 | 10:01pm
Zuraidin sahkan lapan daripada G11 sertai semula PSM.
Zuraidin sahkan lapan daripada G11 sertai semula PSM.

Lapan bekas gabungan PSM buat pusingan U

KUALA LUMPUR: Lapan daripada 11 ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang keluar daripada badan induk kebangsaan itu membuat keputusan untuk kembali bersama.

Keputusan itu bakal menyaksikan satu transformasi baharu dalam arena sepak takraw dengan hasrat utama mengekalkan nama persatuan yang sudah sekian lama terbina.

Menurut Presiden Gabungan Sepaktakraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah, langkah itu dilakukan bagi mengorak langkah ke depan selain mahu menyelesaikan kemelut melanda persatuan secara berhemah.

"Semua negeri daripada G11 (gabungan yang keluar sebelum ini) masuk semula kecuali Putrajaya, Selangor dan Sarawak selepas (persatuan negeri) dihantar surat untuk menyatakan pendirian untuk masuk ataupun tidak. "Yang masuk lapan, yang tak masuk Putrajaya, Selangor dan Sarawak, mereka membuat keputusan untuk tidak masuk PSM. PSM juga sudah menerima balik lapan gabungan ini.

"Ahli gabungan pun mahu melangkah ke depan untuk selesaikan perkara ini secara anak beranak. Kalau asyik bermain polemik, sampai bila nak selesai," katanya ketika dihubungi.

Semalam, BH Sukan melaporkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) menganggap kemelut PSM sudah hampir menemui titik penyelesaian selain menyarankan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) persatuan dapat diadakan segera.

Saranan itu turut mendapat sokongan Zuraidin yang menyifatkannya bertepatan bagi mengatasi kemelut yang melanda pengurusan badan sukan sepak takraw negara daripada terus berpanjangan.

"Saya menyokong penuh apa yang disarankan PJS supaya PSM menyegerakan AGM dan EGM.

"Saya juga menerima maklumat yang PSM sudah membuat satu keputusan untuk mengadakan AGM dan EGM bulan depan," katanya.

AGM bakal menyaksikan pemilihan jawatankuasa yang baharu manakala EGM dijadual mengesahkan pemindaan perlembagaan PSM selepas dihimpit kemelut berpanjangan.

Ia susulan PSM disingkirkan sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berkuat kuasa Mei lalu selain beberapa isu lain ketika di bawah pengurusan presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail yang turut dikenakan hukuman gantung oleh badan induk Asia itu.

Berita Harian X