Sabtu, 21 Ogos 2021 | 12:24pm
Ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley (kanan) membantu Datuk Azizulhasni Awang ketika pelumba itu terjatuh sebelum acara pecut pada Sukan Olimpik 2020 di Velodrom Izu, dekat Tokyo pada 5 Ogos lalu. - Foto AFP.
Ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley (kanan) membantu Datuk Azizulhasni Awang ketika pelumba itu terjatuh sebelum acara pecut pada Sukan Olimpik 2020 di Velodrom Izu, dekat Tokyo pada 5 Ogos lalu. - Foto AFP.

Malaysia sedia cipta sejarah di Paris 2024

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley optimis Malaysia akan mencipta sejarah dengan penyertaan kali pertama dalam acara pecut berpasukan di Sukan Olimpik 2024.

Jurulatih dari Australia itu percaya pelumba muda negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis sudah bersedia untuk mengiringi Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom sekali gus membentuk pasukan yang mampu memberi cabaran di Paris.

"Fadhil sudah bersedia. Buat kali pertama dalam sejarah basikal trek Malaysia, kami mempunyai peluang beraksi dalam acara berpasukan. Fadhil adalah pelumba bertaraf dunia dan prestasinya akan terus meningkat, hanya masa akan menjadi penentu," kata Beasley kepada BH Sukan.

Pada Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong, Mei lalu, Fadhil yang berusia 24 tahun cemerlang apabila berjaya memenangi emas dalam acara keirin dan perak bagi acara 1 kilometer ujian masa individu.

Sebagai rekod, sepanjang penyertaan di Sukan Olimpik, skuad basikal trek negara hanya layak beraksi dalam acara individu dan pencapaian terbaik menerusi Azizulhasni yang menyaksikan dia memenangi gangsa acara keirin di Olimpik London 2012 sebelum meraih perak di Tokyo 2020 baru-baru ini.

Di Tokyo, Azizulhasni dan Shah Firdaus menggalas cabaran negara dalam acara pecut individu dan keirin.

Beasley yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk kekal membimbing skuad negara ketika kontraknya bakal tamat hujung tahun ini, berkata beberapa lagi pelumba muda Malaysia turut berpeluang untuk layak ke Paris.

"Namun, apa yang menjadi masalah utama mereka ketika ini adalah dari aspek pendedahan kejohanan antarabangsa bagi meningkatkan prestasi. Begitupun, kami akan melakukan yang terbaik bagi mencari jalan untuk membantu pelumba-pelumba ini," katanya.

Berita Harian X