Isnin, 9 Ogos 2021 | 7:20pm

OLIMPIK: Azizulhasni selamat tiba di Malaysia

SEPANG: Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo selamat tiba di tanah air, sebentar tadi.

Pelumba berusia 33 tahun itu yang diberi julukan The Pocket Rocketman bersama kumpulan akhir kontinjen negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.20 petang dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH071.

Turut bersama Azizulhasni ialah rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan ratu terjun, Pandelela Rinong.

PELUMBA basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang ketika sidang media ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/Mohd Fadli Hamzah
PELUMBA basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang ketika sidang media ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PELUMBA basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang bergambar bersama pingat perak yang dimenanginya dalam acara keirin lelaki Sukan Olimpik 2020 ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menaiki penerbangan yang sama selain Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Ketibaan kumpulan akhir kontinjen negara dari Tokyo hari ini disambut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Noor Azman Taib.

Semua yang tiba hari ini akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada Sukan Olimpik Tokyo kali ini, kontinjen Malaysia meraih satu perak dan satu gangsa sekali gus mengulangi pencapaian kedua terbaik sepanjang penyertaan di temasya terbesar dunia itu selepas edisi 1996 di Atlanta dan 2012 di London.

Di Tokyo, Azizulhasni meraih perak dalam acara keirin manakala gangsa disumbangkan beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Aksi gembira pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 kontinjen negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sebaik tiba di KLIA, petang tadi. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.
Aksi gembira pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 kontinjen negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sebaik tiba di KLIA, petang tadi. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.
Berita Harian X