Rabu, 4 Ogos 2021 | 11:41am
Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang (kanan).
Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang (kanan).

OLIMPIK: Jijoe digesa fokus keirin

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang disaran untuk memberikan fokus yang lebih dalam saingan keirin yang mana dia dilihat mempunyai peluang lebih tinggi untuk memenangi pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pelumba berusia 33 tahun itu akan beraksi dalam dua acara di Tokyo iaitu pecut individu dan keirin.

Bekas pelumba trek kebangsaan, Rosman Alwi, 59, berkata berdasarkan pencapaian dilakar Azizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman', ternyata dia memiliki kelebihan dalam acara keirin yang turut menjadi kegemarannya berbanding pecut.

"Bukan mahu menafikan kemampuan Azizulhasni dalam acara pecut tetapi saya berpandukan pencapaian-pencapaian yang dilakarnya sebelum ini yang mana lebih banyak menang dalam acara keirin. Sebaiknya, dia fokus 100 peratus dalam acara keirin.

"Namun, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dia memenangi pingat dalam acara pecut. Ini kerana, pelumba yang bagus dalam keirin memang turut mampu menguasai acara pecut.

"Apapun, Azizulhasni ada jurulatih sendiri (John Beasley) yang pasti lebih arif dan mengikuti perkembangan pelumba itu setiap hari. Jika yakin mampu dalam kedua-dua acara, tiada salahnya.

"Jika tidak, sebaiknya berikan fokus yang lebih dalam keirin. Ini adalah pandangan peribadi saya," kata Rosman yang dua kali beraksi di Sukan Olimpik bermula 1984 di Los Angeles dan 1988 di Seoul,kepada BH Sukan.

Rosman juga beraksi dalam dua acara pada kedua-dua temasya berkenaan iaitu pecut individu dan 1 kilometer (km) ujian masa dengan keirin masih belum dipertandingkan ketika itu.

Sebagai rekod, Azizulhasni yang menjadi sandaran kontinjen negara bagi menjelmakan kilauan emas pertama di pentas Sukan Olimpik kali ini muncul juara keirin pada 2017.

Mengulas lanjut, Rosman menyifatkan Azizulhasni sebagai pelumba yang 'licik' dalam mengatur strategi bagi perlumbaan keirin sekali gus menjadi salah satu kelebihan buat dirinya.

"Namun, dia juga perlu berhati-hati dengan pelumba negara lain kerana mereka juga ada strategi dan kelebihan masing-masing. Bukan semua pelumba yang akan bersaing dengannya di Olimpik kali ini menyertai kejohanan disertainya sebelum ini, " kata Rosman yang memenangi emas Kejohanan Asia 1987 dalam acara pecut.

Selain Azizulhasni, cabaran skuad basikal trek negara turut akan digalas seorang lagi pelumba, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang turut akan beraksi dalam acara pecut dan keirin.

Azizulhasni dan Shah Firdaus dijadual turun memulakan aksi di Olimpik Tokyo, petang ini dalam pusingan kelayakan acara pecut di Velodrom Izu.

Berita Harian X