Sabtu, 24 Julai 2021 | 6:31pm
Shah Firdaus ketika bertemu Azizulhasni sembilan tahun lalu.
Shah Firdaus ketika bertemu Azizulhasni sembilan tahun lalu.

OLIMPIK: Cerita budak baju putih

KUALA LUMPUR: Muhammad Shah Firdaus Sahrom mendedahkan semangatnya semakin membara untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik selepas kali pertama bertemu dengan idolanya yang juga jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang pada 2012.

Menceritakan detik pertemuan itu, Shah Firdaus, 25, yang akan membuat penampilan sulung di Tokyo 2020, berkata pertemuan itu diatur oleh penolong jurulatihnya, Zamani Mustaruddin.

"Nak jumpa idola tak?" soal Abang Black (Zamani), pembantu jurulatih kepada saya.

"Deruan adrenalin terasa. Pada malam mata yang tadinya berat hampir pejam, terus segar bugar. Bersiap sepantas kilat dan terus melangkah keluar bilik.

"Kisah seorang budak lelaki yang mengejar impian. Gambar dirakam sembilan tahun lalu, selepas Azizul pulang daripada aksi di Olimpik London 2012.

"Bagi seorang budak lelaki biasa yang sangat suka mengayuh basikal, bersua muka dengan sosok Azizul amatlah bermakna.

"Sebelumnya hanya mampu melihat di media dan bersorak di depan televisyen di dewan makan. Pertemuan itu menghidupkan api semangat dalam diri budak lelaki berbaju putih ini, menanam cita-cita untuk suatu masa nanti menjejak kaki di sukan temasya terbesar dunia itu," kata Shah Firdaus di di Facebook miliknya, hari ini bersama gambar dengan Azizulhasni yang dirakam sembilan tahun lalu.

Shah Firdaus yang akan beraksi dalam acara keirin dan pecut bersama Azizulhasni di Tokyo berkata, dia cukup bangga apabila impiannya kini menjadi kenyataan.

"Benarlah impian boleh menjelma menjadi kenyataan. Kini budak lelaki berbaju putih itu di sini, bersama-sama menggalas tugas dan cabaran negara tercinta di temasya Olimpik yang berprestij.

"Perjuangan dan perjalanan sembilan tahun yang penuh liku, kerana Olimpik "mahal" harganya. Kata bijak pandai, "pengalaman tidak boleh dicipta, ia mesti dilalui".

"Bermula dari sekilas impian, dengan doa dan usaha, Alhamdulillah, "Olympic Dream" kian menjadi realiti. Sungguh, realiti ini lebih indah dari mimpi. 'If You Can Dream It, You Can Do It'," katanya.

Saingan bagi basikal trek akan bermula 2 hingga 8 Ogos ini di Veledrom Izu, Tokyo.

Berita Harian X