Sabtu, 24 Julai 2021 | 5:14pm
Penampilan Farah bersama busana kontinjen negara mendapat pujian netizen.
Penampilan Farah bersama busana kontinjen negara mendapat pujian netizen.

OLIMPIK: Farah pukau netizen

KUALA LUMPUR: Penampilan ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi ketika menggayakan busana kontinjen Malaysia di upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, malam tadi mencuri perhatian netizen.

Rata-rata netizen memuji kecantikan Farah mengenakan busana berkenaan pada gambar yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

Malah, gambar itu mendapat 69,657 tanda suka dan 971 komen daripada netizen yang terpukau dengan kecantikan dimiliki atlet berusia 27 tahun berasal dari Selangor itu.

Netizen juga turut meniupkan kata-kata semangat kepada Farah untuk aksinya di pentas Olimpik.

Pada upacara pembukaan malam tadi, persalinan yang dipakai wakil negara diinspirasikan daripada persalinan pemakaian Hang Tuah dalam segi penggayaan dan suntikan elemen segar dari corak geometrik dan warna Jalur Gemilang sebagai warna asas.

Tatacara pemakaian adalah lengkap bertanjak, baju sikap dan samping berbaju melayu yang melambangkan kejituan rasa cinta kepada Malaysia dan baju kebangsaan.

Persalinan wanita pula lengkap berdokoh dan berselendang membiaskan identiti Malaysia yang kaya dengan budaya tersendiri.

Berdasarkan corak geometrik berasaskan segi tiga ataupun chevron, ia memberi kesan rangsangan arah tuju yang jelas mencapai matlamat pingat yang terbaik untuk negara.

Rekaan pakaian terbabit adalah dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam.

Farah yang akan membuat penampilan pertama di pentas Olimpik akan memulakan aksinya, esok dalam pusingan kelayakan acara individu all around yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake.

Berita Harian X