Khamis, 22 Julai 2021 | 3:35pm
Nazifuddin akan menjalankan tugas Chong Wei di Tokyo.
Nazifuddin akan menjalankan tugas Chong Wei di Tokyo.

OLIMPIK: Nazifuddin galas tugas Chong Wei

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib akan membantu Datuk Lee Chong Wei menjalankan kerja sebagai ketua kontinjen di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ini selepas Chong Wei yang juga bekas jaguh badminton negara tidak dapat ke Tokyo kerana faktor kesihatan tetapi akan memantau perkembangan semasa dan berhubung dengan kontinjen negara secara dalam talian.

Nazifuddin, berpandangan peranan ketua kontinjen pada Sukan Olimpik kali ini sangat mencabar kerana berlangsung ketika seluruh dunia masih dilanda pandemik COVID-19.

"Ini disebabkan norma baharu yang diterapkan dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat. Semuanya perlu dilakukan secara maya.

"Saya fikir ini adalah proses pembelajaran untuk semua. Temasya kali ini cukup bersejarah kerana Sukan Olimpik berlangsung dalam keadaan pandemik," katanya menerusi video yang dikongsikan kepada media, semalam.

Mengulas mengenai prospek pingat kontinjen Malaysia pada temasya kali ini, Nazifuddin berharap sukan badminton, berbasikal dan terjun akan menjadi penyumbang utama pingat buat negara.

Pada Olimpik Rio 2016, skuad badminton menyumbang tiga perak, terjun satu manakala basikal meraih gangsa sekali gus menjadi pencapaian terbaik kontinjen negara sepanjang penyertaan pada temasya terbesar dunia itu.

"Jika atlet daripada tiga sukan itu berjaya membawa pulang pingat dari Tokyo, ia akan menjadi petunjuk bahawa mereka telah mencapai tahap kematangan dalam sukan.

"Saya gembira sekiranya mereka dapat pulang bersama pingat, dan saya berharap mereka akan terus menyumbang kepada pungutan pingat pada Sukan Olimpik," katanya.

Berita Harian X