Khamis, 22 Julai 2021 | 1:00pm
Guinea membatalkan penyertaan lima atletnya di Olimpik Tokyo kerana bimbang dijangkiti COVID-19. - Foto AGENSI
Guinea membatalkan penyertaan lima atletnya di Olimpik Tokyo kerana bimbang dijangkiti COVID-19. - Foto AGENSI

OLIMPIK: COVID-19 alasan Guinea tarik diri

CONAKRY, Guinea: Guinea membatalkan penyertaan di Olimpik Tokyo akibat pandemik COVID-19, umum menteri sukan negara barat Afrika itu.

Bagaimanapun sumber rapat kepada kerajaan berkata keputusan untuk tidak menghantar kontinjen lima atlet itu adalah kerana kekangan kewangan.

"Susulan kemunculan varian-varian COVID-19, kerajaan yang amat mengambil berat dalam memastikan kesihatan atlet-atlet Guinea, memutuskan untuk membatalkan penyertaan Guinea di Olimpik Tokyo," kata Menteri Sukan Sanoussy Bantama Sow.

Bagaimanapun menurut sumber keputusan yang diambil dua hari sebelum acara pembukaan Olimpik, adalhan kerana kementerian itu tidak mampu menanggung kos.

Media Guinea turut mendakwa penarikan diri itu adalah kerana faktor kewangan berbanding kesihatan.

Guinea belum pernah memenangi sebarang pingat dalam 11 penampilan di Olimpik.

Kontinjen Guinea dibarisi Fatoumata Yarie Camara (gusti), Mamadou Samba Bah (judo), Fatoumata Lamarana Toure dan Mamadou Tahirou Bah (renang) serta Aissata Deen Conte (olahraga, 100m wanita).

April lalu Korea Utara mengumumkan yang mereka tidak akan mengambil bahagian di Olimpik Tokyo bagi melindungi atlet mereka daripada sebarang risio COVID-19. - AFP

Berita Harian X