Khamis, 22 Julai 2021 | 11:19am
Azizulhasni bergambar bersama Shah Firdaus di depan velodrom Izu pada 2016.
Azizulhasni bergambar bersama Shah Firdaus di depan velodrom Izu pada 2016.

OLIMPIK: Azizulhasni boleh jadi 'ahli nujum'

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan yang dia sudah membayangkan akan beraksi di Velodrom Izu bersama rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, lima tahun lalu untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut perkongsian di Facebook miliknya hari ini, pelumba berusia 33 tahun itu, berkata impian itu mula dipasang sebaik tamat Kejohanan Asia pada 30 Januari 2016 di Bandar Izu di wilayah Shizouka.

Katanya, ketika itu dia dalam misi mengutip mata bagi layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 dan berjaya membawa pulang beberapa pingat daripada acara yang disertai.

"Selepas habis satu-satu pertandingan, saya akan memakukan kedua biji mata saya ke arah venue perlumbaan sambil berfikir atau membuat sedikit refleksi.

"Ketika itu saya sedia maklum yang Jepun adalah tuan rumah untuk kitaran Olimpik seterusnya dan pihak mereka sudah menyatakan dari awal lagi yang mereka akan menggunakan Velodrome Izu ini sebagai venue mereka.

"Saya memandang ke arah itu sambil memasang niat dan impian yang saya akan kembali lagi ke sini selepas empat tahun. Dalam ramai-ramai rakan sepasukan yang berlegar di parking lot, saya amat yakin dan nampak yang Mat Shah Firdaus lah paling bersedia untuk ke temasya itu dalam masa empat tahun lagi.

"Jadi, saya panggil dia dan mengajak untuk berselfie dengan berlatar belakangkan Velodrome Izu," kata pemenang gangsa Olimpik Rio itu.

Azizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' berkata, dia ketika itu turut memberitahu Shah Firdaus yang dia mengambil swafoto itu bukan sekadar untuk memori mereka tetapi ia akan menjadi impian dan cita-cita bagi tempoh empat tahun lagi.

Katanya, selepas empat tahun, dia dan Shah Firdaus sepatutnya sudah berada di tempat yang dijanjikan untuk kembali mengambil swafoto tetapi terpaksa akur apabila Olimpik Tokyo ditangguhkan selama setahun kerana pandemik COVID-19.

"Akhirnya, selepas tambahan satu tahun menanti, berbaki tiga hari lagi kami akan terbang ke sana kembali. Insyaallah jika di izinkan oleh Allah, kami akan terpacak di tempat yang dijanjikan sebelum ini.

"Semua ini bermula hanyalah dari sebuah impian dan cita-cita kecil kami berdua. Dan kini siapa sangka, ianya hampir menjadi sebuah realiti. Doakan Kejayaan Kami. Terima Kasih Malaysia," katanya.

Saingan bagi basikal trek akan bermula 2 hingga 8 Ogos ini di Veledrom Izu, Tokyo dengan Azizulhasni dan Shah Firdaus akan beraksi dalam acara keirin dan pecut.

Berita Harian X