Rabu, 21 Julai 2021 | 8:20pm
FARAH akan buat penampilan di Tokyo 2020 dengan memakai ‘leotard’ rekaannya sendiri.
FARAH akan buat penampilan di Tokyo 2020 dengan memakai ‘leotard’ rekaannya sendiri.

OLIMPIK: Farah pakai 'leotard' rekaan sendiri

KUALA LUMPUR: Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi akan memakai 'leotard' berwarna jingga hasil rekaannya sendiri apabila membuat penampilan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirai secara rasmi, Jumaat ini.

Menerusi video yang dimuat naik di ruangan Instastory miliknya hari ini, atlet berusia 27 tahun itu menunjukkan 'leotard' yang akan dipakainya dihiasi batu kristal bermotifkan harimau sebagai simbol Harimau Malaya.

"Membawa semangat Harimau Malaya di Tokyo, Jepun. Pandangan dari dekat leotard yang saya reka… sudah pasti diinspirasikan daripada Harimau Malaya," katanya menerusi keterangan pada video berkenaan.

Sebagai rekod, ini adalah penampilan pertama Farah di pentas Olimpik selepas layak secara merit menerusi aksi cemerlangnya di Kejohanan Dunia di Stuggart, Jerman pada Oktober 2019 sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun gimnas negara layak ke temasya terbesar dunia itu.

Dia menjadi gimnas ketiga negara menempah tiket ke Olimpik selepas kali terakhir gimnas lelaki, Ng Shu Wai beraksi pada Sukan Olimpik 2004 di Athens. 

Seorang lagi gimnas wanita negara yang pernah ke pentas Olimpik ialah Au Li Yen pada Olimpik 2000 di Sydney.

Farah dijadual turun memulakan aksinya di Pusat Gimnastik Ariake, Tokyo, Ahad ini.

Dalam pada itu, atlet berasal dari Selangor itu berkata, dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan peralatan yang akan digunakan dalam pertandingan nanti dan sudah dua kali berpeluang menjalani latihan di venue pertandingan.

"Aparatus sangat menakjubkan tetapi berbeza dengan apa yang ada di Malaysia. Jadi, perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri," katanya yang tiba di Tokyo, Ahad lalu.

Berita Harian X