X
Rabu, 21 Julai 2021 | 7:56am
Ssekitoleko ditemui di Yokkaichi. - FOTO Dean Mouhtaropoulos/Getty Images
Ssekitoleko ditemui di Yokkaichi. - FOTO Dean Mouhtaropoulos/Getty Images

OLIMPIK: Atlet Uganda 'hilang' ditemui

TOKYO: Atlet angkat berat Uganda yang 'hilang' daripada sesi latihan pra-Olimpik di barat Jepun sudah ditemui dan kini disoal siasat oleh polis.

Polis di wilayah Mio menyatakan atlet berusia 20 tahun itu, Julius Ssekitoleko ditemui di Yokkaichi yang terletak 169 kilometer (km) ke arah timur dari tempat latihan pasukannya.

Polis bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku sejak dia 'lesap' dari hotelnya di Izumisano, Jumaat lalu dan meninggalkan nota bahawa dia tidak mahu pulang ke negaranya.

Ssekitoleko turut meninggalkan bagasinya dan menyatakan yang dia mahu terus berada di Jepun dan bekerja di negara itu, kata pegawai Izumisano.

Dia tidak melepasi standard Olimpik bagi ranking antarabangsa yang diumumkan selepas tiba di Jepun dan perlu pulang ke negaranya pada minggu ini.

Selepas ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 19 Jun lalu, seorang ahli pasukannya didapati positif COVID-19 dan dikuarantin sementara lapan lagi dibenarkan untuk mengharungi perjalanan 482 km ke Izumisano.

Sehari selepas itu, seorang lagi didapati positif dan memaksa tujuh pegawai tempatan dan pemandu yang menjadi kontak rapat menjalani kuarantin.

Pegawai kesihatan memaklumkan kedua-dua atlet Uganda itu positif varian Delta dan lebih mudah untuk berjangkit.

Pasukan itu yang menamatkan kuarantin dan berlatih sejak 7 Julai lalu sudah pun menuju ke Perkampungan Olimpik tanpa Ssekitoleko. - Agensi

Berita Harian X