Jumaat, 16 Julai 2021 | 1:18pm

'Sasar emas kerana kita sudah raih perak, gangsa'

KUALA LUMPUR: Jangan ambil sasaran selamat!

Itu pandangan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengenai sasaran pingat kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang baginya harus realistik dengan situasi semasa.

Zolkples berkata, bukan mudah untuk memuktamadkan sasaran pada temasya terbesar dunia itu, namun terdapat trend peningkatan yang ditonjolkan kontinjen pada temasya sebelum ini sehingga di Rio 2016 dan Malaysia seharusnya meletakkan sasaran yang lebih munasabah.

"Kalau diikutkan, selalunya peminat sukan mahu melihat kita dapat memperbaiki pencapaian yang lalu tetapi mustahil untuk meraih empat perak (seperti di Rio).

"Salah satu cara yang boleh mengubati atau memenuhi harapan peminat sukan, kena menang pingat emas. Sasaran pingat emas ini bukanlah sesuatu yang baharu, sudah berapa edisi Olimpik kita mengharapkan emas pertama negara tetapi tak boleh dicapai.

Datuk Seri Zolkples Embong - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Datuk Seri Zolkples Embong - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

"Jadi, kalau menang emas, semua orang akan lupa berapa banyak duit yang sudah dibelanjakan, seperti (pelaburan) basikal Azizulhasni (Awang) yang menelan RM13 juta (termasuk untuk dua atlet lain, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis).

"Apapun, perlu berhati-hati kerana kita sudah mengeluarkan dana yang banyak, jadi kena ada sasaran. Tak boleh lagi nak kata untuk menyertai saja, zaman moden ini sukan kena ada sasaran kerana ia membelanjakan duit rakyat.

"Jadi, bagi saya jangan ambil sasaran selamat di saat kita sudah sentiasa menunjukkan peningkatan. Daripada tiada pingat, kita meraihnya menerusi sukan badminton.

"Di London 2012, Pandelela (Rinong Pamg) menambah pingat gangsa dan di Rio kita tambah lagi pingat menerusi berbasikal. Di sini, kita nampak sudah banyak jenis sukan dan bilangan pingat dan tentunya kita nak tengok peningkatan.

"Namun, adalah lebih baik sekiranya kita sasarkan pingat emas kerana kita sudah pernah meraih perak dan gangsa. Kalau capai emas, tak perlu lagi memikirkan pungutan pingat yang lain," kata Zolkples.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyatakan sasaran pingat akan diumumkan Isnin ini berbanding hari ini sebaik saja selepas mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN).

Berita Harian X