Selasa, 29 Jun 2021 | 10:47am
Gambar fail - Atlet Malaysia, Jeremiah Loo Phay Xing (kanan) bersama Tan Fu Jie ketika memenangi emas acara gimnastik artistik lelaki pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya.
Gambar fail - Atlet Malaysia, Jeremiah Loo Phay Xing (kanan) bersama Tan Fu Jie ketika memenangi emas acara gimnastik artistik lelaki pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya.

Jeremiah layak ke Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR: Atlet gimnastik artistik negara, Jeremiah Loo Phay Xing layak ke Olimpik Tokyo bulan depan, yang turut menjadi penampilan sulungnya di temasya sukan berprestij itu.

Gimnas berusia 23 tahun dari Pulau Pinang itu seakan tidak percaya sebaik menerima khabar gembira itu, kerana beliau akhirnya akan membuat penampilan pada temasya sukan diimpikan selama ini.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada banyak pihak yang bersama-sama dengan saya sepanjang perjalanan ini untuk menjadikannya satu realiti...membantu (saya) untuk sampai ke tahap ini.

"Tidak mungkin ia berlaku tanpa anda semua," katanya menerusi klip video kepada Bernama.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariany Nasril dalam kenyataan lewat malam tadi, mengesahkan slot dalam acara all-around lelaki yang akan disertai Jeremiah dalam sukan itu.

Afrita Ariany berkata kejayaan Jeremiah layak ke Tokyo adalah berdasarkan keputusan penyertaannya dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Dengan penyertaan ini, Malaysia kini mempunyai 24 atlet daripada lapan jenis sukan termasuk ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang akan beraksi di Tokyo, selain beberapa atlet lagi yang menunggu keputusan kelayakan.

Jeremiah juga menjadi gimnas lelaki kedua negara membuat kemunculan di Olimpik selepas sejarah dilakar Ng Shu Wai yang layak ke Sukan Olimpik Athens, Greece pada 2004.

Pada Sukan Asia di Indonesia 2018, Jeremiah menamatkan saingan dalam acara all-around lelaki pada kedudukan ke-14 dan berada di tempat keenam dalam acara kekuda pelana lelaki pada Sukan SEA Filipina 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda yang menyaksikan beliau fokus kepada proses pemulihan kecederaan bahu sepanjang 2020.

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

- BERNAMA

Berita Harian X