Ahad, 30 Mei 2021 | 8:20pm
Syed Araniri anggap pemilihan baharu kepimpinan PSM tidak boleh selamatkan badan induk itu. - NSTP/Nik Hariff Hassan
Syed Araniri anggap pemilihan baharu kepimpinan PSM tidak boleh selamatkan badan induk itu. - NSTP/Nik Hariff Hassan

EGM tak mampu selamatkan PSM

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) menegaskan cadangan mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) dan pemilihan jawatankuasa baharu tidak mampu menyelamatkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Presiden PSTPs, Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos tindakan Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz memujuk 11 ahli gabungan yang sudah keluar dengan sedia mengadakan EGM dan pemilihan sudah terlambat.

"PSTPs membidas kenyataan Timbalan Presiden PSM (Akramuddin) bahawa EGM mampu menyelesaikan kemelut tindakan 11 ahli gabungan negeri yang telah keluar meninggalkan PSM dan ianya adalah platform terbaik untuk menukar kepimpinan sedia ada.

"Lagipun, bersandarkan perlembagaan yang tidak memungkinkan Presiden dan keseluruhan saf kepimpinannya tewas, menyebabkan kami sudah muak dan hilang kepercayaan kepada kredibiliti, integriti dan akauntabiliti PSM.

"Tujuh orang lantikan bebas Presiden PSM berserta lima orang lantikan pemegang jawatan utama pengurusan yang tidak mendapat kelulusan AMT PSM yang boleh mengundi ternyata menyebabkan mesyuarat agung tahunan (AGM) PSM selama ini tidak sah dan terbatal malahan isu tersebut gagal ditangani oleh pihak PJS (Pejabat Pesuruhjaya Sukan) walaupun aduan melalui petisyen telahpun dibuat," katanya.

Syed Araniri juga menegaskan penyingkiran PSM daripada Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) adalah berpunca daripada kegagalan Akramuddin dan Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh yang gagal memainkan peranan dan tanggungjawab mempertahankan PSM.

"Presiden PSM (Datuk Seri Ahmad Ahmad Ismail) telah dikenakan tindakan penggantungan oleh ASTAF. Jadi, mereka sepatutnya bertanggungjawab mempertahankan PSM tetapi kegagalan mereka menghadiri prosiding perbicaraan ASTAF jelas mengecewakan.

"Sepatutnya, mereka hadir mempertahankan PSM dalam perbicaraan itu bagi mengelakkan persatuan tidak dihukum dan disingkirkan daripada ASTAF," katanya.

Berita Harian X