Khamis, 27 Mei 2021 | 7:31pm
Shah Firdaus berpotensi menyumbang pingat di Tokyo.
Shah Firdaus berpotensi menyumbang pingat di Tokyo.

Tunggu kejutan Shah Firdaus di Tokyo

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley optimis Shah Firdaus Sahrom turut mempunyai potensi bagi menyumbang pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan.

Walaupun tumpuan ketika ini lebih terarah kepada jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang yang diletakkan sandaran memenangi pingat emas di Tokyo, Beasley percaya Shah Firdaus juga mampu menyerlah pada temasya terbesar dunia itu.

"Shah pelumba yang berbakat. Segala-galanya bergantung kepada bagaimana dia mengawal tekanan. Secara fizikal saya yakin dia mampu membuktikan sesuatu dalam acara pecut atau keirin.

"Dia mempunyai kelebihan dari sudut fizikal dan kekuatan yang sememangnya diperlukan dalam acara pecut. Untuk acara keirin, saya rasa anda sudah melihat kemampuannya apabila memenangi Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia," katanya.

Beasley berkata, biarpun Shah Firdaus tidak mempunyai pengalaman luas seperti Azizulhasni, tetapi dia memiliki pakej lengkap untuk memenangi perlumbaan.

"Ia bergantung kepada perancangannya dan bagaimana dia mengawal tekanan tinggi di Olimpik yang seterusnya menentukan prestasinya di Tokyo. Saya sudah dapat melihat peningkatan kematangan Shah sejak 12 bulan lalu," katanya.

Berita Harian X