Isnin, 24 Mei 2021 | 9:26pm
Presiden Gabungan Sepaktakraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah.
Presiden Gabungan Sepaktakraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah.

'Pintu terbuka luas sertai entiti baharu'

KUALA LUMPUR: Kelompok persatuan yang sudah 'angkat kaki' daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) membuka pintu seluas-luasnya kepada baki ahli gabungan badan induk itu untuk menyertai mereka dalam penubuhan sebuah entiti baharu.

Presiden Gabungan Sepaktakraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah berkata, pendekatan itu dilihat amat bertepatan apatah lagi jumlah yang sudah keluar daripada PSM kini semakin bertambah.

Setakat ini, 11 daripada 18 ahli gabungan sudah menyatakan pendirian menarik diri daripada PSM selepas berlaku kemelut antara badan naungan berkenaan dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Zuraidin berkata, baki persatuan negeri yang tinggal amat dialu-alukan meneruskan perjuangan sepak takraw bersama mereka.

"Saya ada satu pandangan, gabungan baharu ini bersikap terbuka dan tak ada apa-apa halangan sekiranya untuk kita menerima baki persatuan yang masih ada dalam PSM. Duduk bersama kita, semeja dengan kita dalam satu entiti dan kita buat pembangunan sepak takraw yang sepatutnya.

"Saya ada mendengar ura-ura yang pemimpin lama dalam PSM mahu meletak jawatan atau memberi laluan. Jadi bagi saya, caranya dengan mengadakan AGM (mesyuarat agung tahunan) PSM dan membubarkannya.

"Kemudian persatuan (yang masih dalam PSM ketika ini) bersama kita kerana (ketika ini) kita sudah ada 11 atau 12 persatuan (yang sudah keluar daripada PSM).

"Tidak ada asasnya untuk kita nak memperbetulkan yang lama yang dihimpit pelbagai masalah itu. Masalah besar dalam PSM ini adalah struktur, perlembagaannya mesti dipinda. Ini termasuk juga keahlian, pengundian dan lain-lain yang tentunya mengambil masa dan itu antara hujah kita (menubuhkan entiti baharu).

"Namun apapun, marilah kita kembali kepada pembangunan sukan kerana dalam Akta Pembangunan Sukan itu sudah jelas. Mana-mana persatuan sukan tanggungjawabnya adalah untuk memberi sumbangan kepada pembangunan sukan, tak kiralah takraw atau sukan apapun. Jadi kita berjuang atas semangat itu," katanya.

Zuraidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Kelantan turut menjelaskan yang mereka sudah mengemukakan permohonan penubuhan persatuan baharu kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), semalam.

Mengulas lanjut, Zuraidin yang juga Timbalan Pengerusi Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan menjelaskan antara nama baharu persatuan yang dicadangkan adalah Gabungan Sepak Takraw Malaysia.

"Sebenarnya ada dua, tiga cadangan (nama baharu persatuan), tetapi nama bersesuaian akan diputuskan selepas dibincangkan bersama gabungan yang lain nanti. Antaranya seperti Gabungan Sepak Takraw Malaysia ataupun Gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia," katanya.

Berita Harian X