Ahad, 23 Mei 2021 | 11:14am
Datuk Seri Khairudin Samad. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Khairudin Samad. - Foto BERNAMA

Sudah terlambat PSM!

KUALA LUMPUR: Sepuluh ahli gabungan yang mengumumkan keluar daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menegaskan mereka tidak akan berganjak daripada keputusan menubuhkan persatuan baharu.

Malah, mereka menegaskan tindakan PSM 'membisu' daripada sebarang pertuduhan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) menimbulkan tanda tanya dan tindakan badan naungan sukan tradisi itu untuk melakukan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dalam masa terdekat, dianggap sudah terlambat.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP), Datuk Seri Khairudin Samad berkata, cadangan menganjurkan EGM itu seperti tidak sesuai sedangkan sebelum ini tiada pun yang mewakili PSM dalam sesi perbicaraan dilakukan ASTAF sehingga dijatuhkan hukuman penyingkiran.

PSM yang mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan sejak dijatuhkan hukuman pada Khamis lalu, dilihat tidak akan 'melayan' peluang diberikan ASTAF berkenaan dan ini secara tidak langsung bakal menjadikan kemelut bertambah sukar.

Justeru, Khairudin berkata, pihaknya termasuk sembilan lagi ahli gabungan yang sudah keluar daripada PSM akan mempercepatkan proses penubuhan persatuan baharu sebelum diserahkan kepada budi bicara Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk menentukan tindakan selanjutnya.

"Sepatutnya hadirkan diri pertahankan PSM pada 20 Mei lalu. Sekarang bagaimana nak merayu, siapa nak merayu, ahli gabungan sudah ramai yang keluar.

"Apabila ramai keluar, sepatutnya secara sendiri PSM sudah terbubar, namun ini terpulang kepada PJS untuk menentukannya. Kami tidak boleh masuk campur (urusan PJS).

"Kami akan memasukkan permohonan untuk menubuhkan persatuan baharu, jadi apabila sudah dipohon, maka ia perlu dipertimbangkan. Justeru, terpulang (kepada PJS) untuk bubarkan yang lama atau mengesahkan persatuan baharu.... tak boleh ada dua persatuan.

"Jadi kami perlu menubuhkan jawatankuasa PROTEM, kena buat minit mesyuarat dan sebagainya dan selepas itu baru dikemukakan kepada PJS. Yang ini adalah perkara teknikal yang perlu PJS lihat," kata Khairudin.

PESTAP adalah antara 10 ahli gabungan yang menyatakan pendirian hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PSM selepas dihimpit kontroversi dengan ASTAF.

Antara yang turut keluar daripada ahli gabungan badan induk berkenaan adalah Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) dengan yang terbaru dari Persatuan Sepak Takraw Perak (PERSEDAR), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS).

Khairudin turut menjelaskan hasrat 10 ahli termasuk Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) yang digantung PSM menubuhkan persatuan baharu adalah antara sebab untuk tidak menanggung liabiliti dalam PSM.

"Saya difahamkan, mereka tidak mahu berada dalam PSM kerana sekiranya mengambil alih PSM yang lama, mereka perlu menanggung beban yang ada dalam pentadbiran sebelum ini. Banyak liabiliti. Katakanlah, kalau 10 ini ambil alih, takkan mereka sanggup menanggung liabiti? Jadi disebabkan itu, mereka tak mahu," katanya.

Berita Harian X