Sabtu, 22 Mei 2021 | 1:38pm

'PSM masih ada ruang bela diri'

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih mempunyai ruang membela diri dan bagi tujuan itu, Pejabat Pesuruhjaya Sukan memberi ruang kepada badan induk berkenaan menyelesaikan kemelut dihadapi secara bersendirian tanpa campur tangan pihaknya.

Semalam badan induk yang memayungi sukan tradisi negara itu diberi tempoh 14 hari mengemukakan rayuan terhadap hukuman penyingkiran daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), sekali gus menyaksikan kemelut bertambah meruncing selepas sembilan ahli gabungan mereka menarik diri.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata PSM masih mempunyai ruang untuk menghantar rayuan manakala ahli gabungan boleh mengemukakan usul mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) selepas ini bagi menentukan hala tuju badan induk kebangsaan itu.

Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof.
Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof.

"Kalau dilihat daripada perlembagaan PSM, pembubaran bukan berlaku secara automatik," kata Ibharim dalam satu sidang media, hari ini.

"Berdasarkan perlembagaan PSM, mereka kena dapatkan dua per tiga daripada ahli gabungan yang diputuskan dalam mesyuarat agung khas atau EGM... ia bukan automatik. Bukanlah apabila disingkirkan daripada ASTAF, maka secara automatik terbubar... tidak. Sebab itulah, setiap badan sukan termaktub kepada perlembagaan masing-masing.

"Jadi dalam isu PSM ini, presiden ataupun ahli gabungan boleh memohon untuk diadakan EGM. Sama ada presiden atau ahli gabungan yang panggil. Ia tak sama (mengikut perlembagaan persatuan sukan), tetapi perlu dilihat daripada perlembagaan masing-masing.

"Ahli gabungan mempunyai hak berkenaan dan ia bukan di bawah kuasa PJS untuk menentukannya. Ia di bawah pengurusan atau badan sukan itu sendiri."

ASTAF menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa serta-merta selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasitinya sebagai timbalan presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari lalu.

Ia dilihat melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Malah, seperti 'jatuh ditimpa tangga', Ahmad dalam satu sesi perbicaraan secara maya pada 5 Mei lalu turut dikenakan penggantungan 15 tahun oleh ASTAF dan didenda AS$25,000 (RM102,937) atas beberapa pertuduhan.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, pihaknya hanya boleh mencampuri urusan badan persatuan sekiranya terdapat pelanggaran daripada faktor pembangunan sukan.

"Apa yang penting, pembangunan sukan itu sendiri. Sekiranya pembangunan sepak takraw terganggu atau terjejas, maka kita akan ambil tindakan mana yang wajar.

"Kita bukan melihat kepada badan sukan itu sendiri, kita lihat kepada pembangunan sukan. Sekiranya terjejas, baru kita akan masuk (campur). Kalau dilihat di bawah akta sedia ada, sekiranya ada badan sukan itu tidak lagi wajar buat sesuatu sukan, baru boleh dibatalkan di bawah peraturan sedia ada.

"Kita ada kuasa di situ, tetapi kita tak nak gunakan sampai ke peringkat itu. Selagi melaksanakan pembangunan sukan itu sendiri, maka mereka boleh melakukan aktiviti," katanya.

Berita Harian X