Ahad, 16 Mei 2021 | 5:43pm
Kamaruddin menyiram air mawar ke atas pusara Allahyarham Haziq di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Kampung Tersusun Serkam Darat, Merlimau, Jasin. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar.
Kamaruddin menyiram air mawar ke atas pusara Allahyarham Haziq di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Kampung Tersusun Serkam Darat, Merlimau, Jasin. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar.

Keluarga Haziq masih tunggu laporan punca kematian

JASIN: Keluarga pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin masih menunggu pengesahan daripada pihak berkenaan berhubung punca sebenar kematian mengejut atlet terbabit di Kajang pada pagi Jumaat lalu.

Bapa Allahyarham, Kamaruddin Yusof ketika mengesahkannya berkata, setakat ini Hospital Kajang dan pakar yang melakukan pembedahan belum menghubungi beliau bagi memaklumkan mengenai perkara itu.

Katanya, dia bersama isteri Allahyarham, Shahira Abdul Halim sudah dipanggil oleh pakar ketika bedah siasat dilakukan sebelum memaklumkan akan memberitahu mereka dalam tempoh sebulan atau paling awal seminggu berkaitan punca kematiannya.

"Jadi saya pegang kata-kata berkenaan dan selagi belum ada pengesahan berkaitan perkara itu saya masih menunggu dengan tenang dan sabar. Pada surat kematiannya, belum ada pengesahan mengenai punca kematiannya," katanya.

Semalam media melaporkan Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik, Datuk Dr Zahari Noor berkata tiada bukti menunjukkan kematian Olimpian berusia 27 tahun itu berkait langsung dengan vaksinasi COVID-19.

"Proses bedah siasat selesai dilakukan selepas ujian calitan COVID-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus terbabit. Hasil bedah siasat menunjukkan kematian disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat perubahan arterosklerosis," katanya.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata dia turut membaca laporan media berkenaan perkara yang dihantar oleh beberapa rakannya, namun dia tetap masih menunggu laporan lengkap punca kematian.

Haziq yang beraksi di pentas Olimpik London 2012 dan Rio 2016, dilaporkan rebah di rumahnya selepas solat subuh kelmarin, sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang. Dia disahkan meninggal pada 9.37 pagi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Kampung Tersusun Serkam Darat, Merlimau, pada 1.40 pagi semalam selepas selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Kajang.

Haziq adalah antara lebih 200 atlet dan pegawai yang terbabit dalam persediaan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo sudah melengkapkan dos suntikan vaksin pada 4 Mei lalu.

Berita Harian X